ROYAL Enfield Himalayan 450 (2024) Debut Di Malaysia Bulan Depan, Harga Dijangka Bawah RM 35k!

TERKINI

6/19/20242 min read

ROYAL Enfield memperkenalkan generasi terbaharu model 'lasaknya', Royal Enfield Himalayan 450 (2024) di Pameran Motosikal Milan (EICMA) tahun lalu dan ramai peminatnya di Malaysia tertanya-tanya bila ia akan membuat debut di pasaran tempatan.

Dipertontonkan di acara Malaysia Autoshow 2024 penghujung bulan lalu, seperti dijangka, ia berjaya mencuri tumpuan.

Dijadualkan dilancarkan pada bulan ini, begitupun tarikhnya diubah oleh Royal Enfield Malaysia sehingga bulan depan (Julai) sempen satu acara membabitkan automotif.

Begitupun seperti biasa, tempahan Royal Enfield Himalayan 450 (2024) sudah pun dibuka kepada terutama kepada mereka yang memang sudah pun 'terpikat' sejak ia muncul di Eicma 2023.

Dan apa yang menarik, menurut sumber yang diperoleh, harga jualan yang akan diperkenalkan oleh Royal Enfield Malaysia cukup menarik iaitu bawah RM 35k.

Mengulas lanjut, seperti diketahui Royal Enfield Himalayan 450 (2024) adalah model yang menggantikan Royal Enfield Himalayan 411 turut dijual di Malaysia.

Tetapi sebagai model generasi baharu, Royal Enfield Himalayan 450 (2024) datang dengan pelbagai pembaharuan bukan saja membabitkan kosmetik, namun termasuk kerangka, teknologi malah trenkuasa baharu.

Menggunakan kerangka 'Twin-spar tubular', dari sudut penampilan, Royal Enfield Himalayan 450 (2024) lebih panjang, tinggi dan lebar berbanding Royal Enfield Himalayan 411.

Dan ia dengan jelas berjaya meningkatkan 'rupa bentuknya' secara keseluruhan dan kini tampil dengan gaya lebih agresif dan menarik.

Di bahagian trenkuasa, Royal Enfield Himalayan 450 (2024) dijana enjin serba baharu yang dibangunkan jenama itu iaitu bersesaran 452 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.

Apa yang menarik, ia menjadi trenkuasa pertama dari Royal Enfield yang dipadankan dengan teknologi Penyejuk Cecair.

Di bahagian transmisi, ia dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap Assist & Slipper.

Kuasa yang dihamburkan adalah 40 Hp pada 8,000 rpm dan tork 40 Nm pada 5,500 rpm.

Tak mahu kalah dari sudut teknologi, ia turut menggunakan teknologi 'Ride by wire' dan turut memilik mod tunggangan selain dipadankan dengan panel meter TFT berwarna 4 inci digital penuh yang lengkap dengan sambungan ke telefon pintar, ciri navigasi dan sebagainya.

Di bahagian suspensi, 'setup' yang digunakan adalah fork jenis terbalik (USD) 43 mm dari Showa dan penyerap hentak belakang tunggal dengan ciri pelarasan (belakang).

Tugas membrek diberikan kepada brek cakera tunggal bersaiz 320 mm dengan kaliper 2 piston (depan) dan cakera tunggal 270 mm kaliper 1 piston (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan apa yang menarik, memiliki ciri boleh nyahaktif.

Secara standard, ketinggian pelana Royal Enfield Himalayan 450 (2024) adalah 825 mm namun boleh dilaras kepada 845 mm dan 805 mm kepada mereka yang lebih rendah.

Set roda adalah 90/90-21 (depan) dan 140/80-17 (belakang) dengan menggunakan rim jenis jejari.

Justeru selain lebih berkuasa, Royal Enfield Himalayan 450 (2024) 3 kg lebih ringan berbanding Himalayan 411 dengan berat 'kerb' 196 kg dengan kapasiti tangki bahan api lebih besar 17 liter.

Ketika dilancarkan, lima pilihan warna diperkenalkan untuk Royal Enfield Himalayan 450 (2024) iaitu Hanle Black, Kamet White, Slate Himalayan Salt, Slate Poppy Blue serta Kaza Brown dan harapnya kesemuanya akan ditawarkan di Malaysia.