ROYAL Enfield Himalayan 450 (2024) Lancar, Umum Harga Minggu Ini, Bawah RM 33k?
TERKINI
7/23/20242 min read
ROYAL Enfield Malaysia, seperti diketahui tak menunggu lama untuk menayangkan penawaran terbaharunya Royal Enfield Himalayan 450 (2024), model yang bakal membuat dirasmikan pada minggu ini.
Sejurus 'mendarat' di tanah air, Royal Enfield Himalayan 450 (2024) dengan pantas dijadikan bahan pameran di beberapa acara termasuk Malaysia Autoshow 2024 dan seperti dijangka, mendapat perhatian yang diharapkan.
Sebelum bercerita lebih jauh, Royal Enfield Himalayan 450 (2024) yang juga model generasi terbaharu yang menggunakan nama 'Himalayan' membuat debut global di Pameran Motosikal Milan (EICMA) tahun lalu.
Dan secara ringkasnya sebagai model generasi terbaharu, ia menjalani pelbagai naik taraf dan pembaharuan yang bukan saja membabitkan rekaan, namun termasuk di bahagian kerangka (Twin-spar tubular') dan mungkin paling menarik, trenkuasa serba baharu 452 cc dikenali sebagai 'Sherpa'.
Untuk pasaran Malaysia, selepas ditayangkan di MA 2024, pihak Royal Enfield Malaysia juga tidak membuang masa untuk menjalankan sesi tunggang uji di cawangan pengedarnya di seluruh negara.
Malah pihak media dan pempengaruh membabitkan automotif tempatan turut diberikan peluang untuk menjalani tunggang uji motosikal berkenaan pada awal bulan ini.
Dan berdasarkan respon awal yang diperoleh daripada sesi berkenaan - yang dijalankan di pelbagai laluan termasuk lasak - memang cukup menarik dan mengujakan.
Apa yang lebih menarik, menurut maklumat yang diperoleh, pihak Royal Enfield Malaysia akan memperkenalkan harga yang dikatakan cukup kompetitif untuk Royal Enfield Himalayan 450 (2024) iaitu bermula bawah RM 33k.
Secara keseluruhan, dua varian Royal Enfield Himalayan 450 (2024) akan diperkenalkan di pasaran tempatan yang dibezakan menerusi penggunaan jenis rim.
Berikut adalah ringkasan mengenai spesifikasi Royal Enfield Himalayan 450 (2024):
Enjin 452 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC
Transmisi 6 kelajuan (Klac Assist & Slipper)
Kuasa 40 Hp @ 8,000 rpm, tork 40 Nm @ 5,500 rpm.
Guna teknologi 'Ride by wire' terotel (2 mod tunggangan)
Panel meter TFT berwarna 4 inci digital penuh (Ada ciri sambungan ke telefon pintar, navigasi dan sebagainya)
Suspensi - Fork jenis terbalik (USD) 43 mm dari Showa, penyerap hentak belakang tunggal dengan ciri pelarasan (belakang)
Brek - Cakera tunggal 320 mm Kaliper 2 piston (depan), cakera tunggal 270 mm kaliper 1 piston (belakang) lengkap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dengan ciri boleh nyahaktif
Pelana boleh laras - 825 mm, 845 mm, 805 mm
Set roda: 90/90-21 (depan), 140/80-17 (belakang) Rim jenis jejari (Tanpa tiub & Tiub)
Berat 'kerb' 196 kg
Tangki bahan api 17 liter
Sebagai info, Royal Enfield Himalayan 450 (2024) akan dilancarkan sempena acara Art of Speed (AoS) Malaysia 2024 yang dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Julai ini.
Selain pelancaran, pihak Royal Enfield Malaysia turut menganjurkan aktiviti tunggang uji Royal Enfield Himalayan 450 (2024) selain beberapa lagi penawarannya di pasaran tempatan.