ROYAL Enfield Himalayan 452 (2024) Debut Global Di Milan, Lagi 'Garang', Memikat!

TERKINI

11/7/20232 min read

ROYAL Enfield tak mengambil masa lama untuk mencuri tumpuan di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2023 dengan melancarkan generasi terbaharu model 'lasaknya', Royal Enfield Himalayan 452 (2024).

Seperti didedahkan sebelum ini, termasuk imej lengkap, Royal Enfield Himalayan 452 (2024) bakal menggantikan Royal Enfield Himalayan 411 yang ketika ini turut dijual di pasaran Malaysia.

Sebagai model generasi baharu, Royal Enfield Himalayan 452 (2024) menggunakan kerangka baharu 'Twin-spar tubular'.

Justeru, ia lebih panjang, tinggi dan lebar berbanding Royal Enfield Himalayan 411 yang sekalipun meningkatkan gaya agresif dan penampilannya ditambah dengan visor angin tinggi baharu.

Antara yang menarik adalah penggunaan lampu depan LED bercorak bulat bersama lampu siang DRL di bahagian tengah yang nampak lebih klasik. Selain itu, rekaan tangki bahan api turut diubah.

Selain itu, Royal Enfield Himalayan 452 (2024) turut dipadankan dengan panel meter TFT berwarna 4 inci digital penuh yang lengkap dengan sambungan ke telefon pintar, ciri navigasi dan sebagainya.

Di bahagian trenkuasa, Royal Enfield Himalayan 452 (2024) dijana enjin serba baharu dibangunkan jenama itu bersesaran 452 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.

Menjadi trenkuasa pertama dari Royal Enfield dipadankan dengan teknologi Penyejuk Cecair, ia digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap Assist & Slipper.

Kuasa yang dihamburkan adalah 40 Hp pada 8,000 rpm dan tork 40 Nm pada 5,500 rpm.

Tak mahu kalah dari sudut teknologi, Royal Enfield Himalayan 452 (2024) turut menggunakan teknologi 'Ride by wire' terotel dan turut memilik mod tunggangan.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) 43 mm dari Showa dan penyerap hentak belakang tunggal dengan ciri pelarasan (belakang).

Tugas membrek diberikan kepada brek cakera tunggal bersaiz 320 mm dengan kaliper 2 piston (depan) dan cakera tunggal 270 mm kaliper 1 piston (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dengan ciri boleh nyahaktif.

Secara standard, ketinggian pelana Royal Enfield Himalayan 452 (2024) adalah 825 mm namun boleh dilaras kepada 845 mm dan 805 mm kepada mereka yang lebih rendah.

Set roda adalah 90/90-21 (depan) dan 140/80-17 (belakang) dengan menggunakan rim jenis jejari.

Secara keseluruhan, Royal Enfield Himalayan 452 (2024) 3 kg lebih ringan berbanding Himalayan 411 dengan berat 'kerb' 196 kg dengan kapasiti tangki bahan api lebih besar 17 liter.

Setakat ini, lima pilihan warna ditawarkan iaitu untuk Royal Enfield Himalayan 452 (2024) iaitu Hanle Black, Kamet White, Slate Himalayan Salt, Slate Poppy Blue dan Kaza Brown.

Menurut jenama itu, Royal Enfield Himalayan 452 (2024) akan mula dijual di pasaran India terlebih dulu diikuti pasaran global pada tahun depan dan pastinya, Malaysia adalah salah satu destinasi pilihan.