ROYAL Enfield Malaysia Kemas Kini Interceptor 650, Continental GT 650 (2023), Harga Mula RM 33.7k!

PELANCARAN

7/14/20232 min read

DUA model Royal Enfield yang boleh dilabel sebagai 'laku keras' di pasaran tempatan, Royal Enfield Interceptor 650 dan Continental GT 650, baru-baru ini memperoleh kemas kini menarik bagi versi 2023 dan yang mengujakan, bukan sekadar 'kosmetik'.

Bergelar peneraju jenama motosikal separa premium global, Royal Enfield Interceptor 650 dan Continental GT 650 boleh dianggap antara 'tunjang' jenama ikonik British itu sekalipun ia diperkenalkan sejak tahun 2018 lagi (global).

Sebelum pergi lebih jauh, Royal Enfield Continental GT 650 adalah model motosikal bergaya 'cafe racer' manakala Royal Enfield Interceptor 650 lebih 'tradisional' dengan kedudukan bar hendal lebih tinggi dengan rekaan pelana lebih landai.

Dimulakan di bahagian harga, Royal Enfield Interceptor 650 (2023) dijual pada angka RM33,700 (asas) manakala Royal Enfield Continental GT 650 (2023) dijual pada harga RM35,600 (asas).

Harga yang diumumkan seperti biasa tidak termasuk cukap jalan, insuran dan yuran pendaftaran.

Dari sudut kosmetik, pilihan warna baharu untuk Royal Enfield Interceptor 650 (2023) adalah, Black Ray, Barcelona Blue, Black Pearl dan Cali Green.

Yang menariknya, pilihan warna terdahulu iaitu Mark 2, Sunset Strip dan Canyon Red masih dijual.

Untuk Royal Enfiled Continental GT 650 (2023), dua pilihan warna baharu ditawarkan iaitu Slipstream Blue dan Apex Grey. Lebih menarik, ia turut tampil dengan kemasan dan trim 'Blacked-out'.

Dan jangan bimbang, pilihan warna terdahulu seperti Mr Clean, Dux Deluxe, British Racing Green dan Rocker Red masih disenarai di dalam katalog.

Selain kemas kini kosmetik, antara pembaharuan yang dibuat kepada Royal Enfield Interceptor dan Continental GT (2023) adalah di bahagian pelana (lebih selesa), Bar hendal baharu dengan suis 'Blok', pot USB dan lampu depan LED baharu.

Dan pembaharuan yang turut menarik adalah ia kini turut dipadankan dengan rim aloy dengan tayar 'tubeless'.

Mengulas ringkas trenkuasa, Royal Enfield Interceptor 650 dan Continental GT 650 dijana enjin yang sama bersesaran 648cc, Parallel-twin, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC.

Digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, kuasa yang dihamburkan adalah 47 Hp pada 7,250 rpm dan tork 52 Nm pada 5,250 rpm.