ROYAL Enfield Malaysia Lakar Sejarah, 66 Unit Motosikal Sertai Perarakan Hari Kebangsaan, Terbabit Aksi Lagak Ngeri!
TULAR
9/1/20231 min read
SEJARAH dicipta Royal Enfield Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Putrajaya, semalam yang menyaksikan jenama berkenaan muncul jenama motosikal kedua secara rasmi menyertai perarakan bersejarah itu sejak kemerdekaan dicapai.
Berlangsung di Dataran Putrajaya, seramai 66 pemilik motosikal Royal Enfield terbabit dengan acara penuh gilang gemilang berkenaan.
Apa yang lebih menarik, konvoi berkenaan turut terbabit dengan pertunjukan lagak ngeri membabitkan pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat Malaysia iaitu Army Red Warrior.
Menjadi sebagai acara kemuncak kepada persembahan adalah pertunjukkan membabitkan Sarjan Saidatul Husna Kamaruddin menunggang jenteranya Kawasaki Scrambler 250 cc melepasi formasi 66 buah motosikal Royal Enfield bersama penunggangnya.
Dan anggota tentera berusia 34 tahun dan menariknya seorang 'anak merdeka' kerana lahir pada 31 Ogos menyempurnakan aksi lagak ngeri itu dengan jayanya.
Kejayaan pertunjukan itu turut mencetuskan rasa teruja Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut berdiri bagi memberikan tepukan kepada Saidatul adalah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan Menteri Kabinet dan tetamu kehormat serta ribuan pengunjung yang hadir.
Sekalipun pertunjukkan berkenaan tidak mencipta sebarang rekod, ia dianggap mengagumkan kerana ia turut membabitkan penunggang Royal Enfield yang berada bersama motosikal masing-masing selain dilakukan dalam tempoh latihan yang singkat.