ROYAL Enfield Shotgun 650 (2024) Dilancarkan Di Malaysia, Harga Mula RM 34.9k

PELANCARAN

5/23/20241 min read

KURANG empat bulan selepas pelancaran globalnya di India, salah satu model yang dianggap paling ikonik dalam segmen 'Custom Cruiser', Royal Enfield Shotgun 650 (2024) akhirnya dirasmikan di pasaran Malaysia.

Dilancarkan penuh prestij sempena Malaysia Autoshow 2024 yang sedang berlangsung, empat pilihan warna ditawarkan untuk Royal Enfield Shotgun 650 (2024) di pasaran tempatan.

Berikut adalah perincian membabitkan penawaran harga dan pilihan warnanya:

  • Plasma Blue - RM 34,900

  • Green Drill - RM 35,900

  • Stencil White - RM 35,900

  • Sheet Metal Grey - RM 34,900

Seperti biasa, harga jualan yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Tampil dengan rekaan disifatkan Royal Enfield sebagai retro-futuristik, Royal Enfield Shotgun 650 (2024) dihasilkan menggunakan platform trenkuasa '650 Twin' Royal Enfield yang turut digunakan beberapa lagi model antaranya Super Meteor dan Continental.

Justeru, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 648 cc, 2 Silinder Parallel Twin, Penyejuk Udara/Minyak, bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan adalah 46.3 Hp pada 7,250 rpm dan tork 52.3 Nm pada 5,650 rpm.

Mengulas sistsm suspensi, Royal Enfield Shotgun 650 (2024) dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) Showa 43 mm (tanpa ciri pelarasan) dan penyerap hentak berkembar dengan pelarasan 'preload'.

Sistem henti pula menggunakan cakera berkembar 320 mm dengan kaliper 2 piston ByBre (depan) dan cakera tunggal dengan kaliper 2 piston (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Set roda pula adalah 100/90-18 (depan) dan 150/70-17 (belakang).

Antara ciri-ciri yang boleh dianggap menarik adalah seperti penggunaan panel meter analog/digital berbentuk bulat yang lengkap dengan sistem navigasi 'Tripper'.

Turut memiliki port pengecas USB, informasi lain adalah seperti kapasiti tangki bahan api 13.8 liter, ketinggian pelana 795 mm dan berat 240 kg.

Sebagai info, Royal Enfield adalah pengeluar motosikal yang bergelar peneraju global dalam segmen motosikal bersaiz sederhana (250 cc hingga 750 cc).