ROYAL Enfield Studio Store Kini Di Kota Kinabalu

TERKINI

11/1/20231 min read

ROYAL Enfield Malaysia terus mengembangkan langkahnya di pasaran Malaysia menerusi pembukaan pusat pameran eksklusif Studio Store jenama itu di Kota Kinabalu (KK), Sabah.

Royal Enfield Studio Store KK adalah yang pertama di Timur Malaysia dan ke-162 di rantau Asia Pasifik dengan pembukaannya sekaligus memberi akses lebih meluas kepada peminat jenama itu di negeri Sabah.

Selain pelancaran Royal Enfield Studio Store Kota Kinabalu, turut diumumkan adalah ketibaan penawaran terbaharu Royal Enfield di Malaysia iaitu Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) di Sabah.

Hadir merasmikan pembukaan Royal Enfield Studio Store Kota Kinabalu adalah Tuan Yang Terutama, Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima (DR.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin.

Turut hadir pada majlis yang turut dihadiri oleh kira-kira 50 pemilik motosikal Royal Enfield di Sabah adalah Ketua Jenama Royal Enfield Malaysia, Sterz Yap dan Ketua Jenama Royal Enfield KK, Ronald.

Pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo menjelaskan pembukaan Royal Enfield Studio Store KK oleh Stunning Bike menandakan era baharu untuk peminat jenama itu di negeri berkenaan.

"Royal Enfield Studio Store Kota Kinabalu akan menawarkan akses lebih besar untuk pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan baharu kami di Timur Malaysia.

"Menerusi gandingan usaha Kumpulan Didi dan Royal Enfield, kami yakin dengan keupayaan kami untuk mewujudkan kehadiran yang menonjol dan mengukir niche dalam pasaran Malaysia.”

Turut berlangsung sempena pelancaran Royal Enfield Studio Store KK adalah 'Royal Enfield Ride' di Kota Kinabalu dengan konvoi diketuai sendiri Tun Juhar yang menunggang Royal Enfield Super Meteor 650.

Sebagai info, Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) secara rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia pada penghujung September lalu di Desaru Bike Week 2023.