ROYAL Enfield Super Meteor 650 (2023) Buat Tayangan Perdana di AoS 2023, Tempahan Dibuka, Harga Jangka Bawah RM 40k!

7/30/20232 min read

SALAH satu model Royal Enfield yang kelibatnya di pasaran Malaysia dinanti-nantikan, Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) membuat kemunculan rasminya, hari ini sempena acara Art of Speed (AoS) 2023.

Begitupun, penampilan Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) di AoS bukanlah pelancaran rasmi, namun untuk tayangan selain sebagai pengumuman mengenai kehadirannya serta membabitkan tempahan.

Membuat kemunculan di peringkat global di Pameran Motosikal Milan (EICMA) tahun lalu, Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) mendapat maklum balas cukup baik terutama daripada media antarabangsa.

Menurut Royal Enfield Malaysia, pelancaran rasmi motosikal berkenaan dijadual pada penghujung September atau awal Oktober depan namun tempahan sudah pun dibuka bersama pelbagai promosi menarik.

Dua varian ditawarkan di pasaran tempatan iaitu Standard dan Tourer bersama lima pilihan warna menarik - Astral Blue, Astral Black, Interstellar Green (Standard), Celestial Red dan Celestial Blue (Tourer). Untuk varian Tourer, ia turut dilengkapi dengan visor angin, pelana 'deluxe' touring dan bar rehat pembonceng.

Dari sudut penggayaan dan rekaan, Royal Enfield Super Meteor 650 adalah motosikal dalam segmen 'easy rider' kruiser namun tampil dengan 'adunan' asli jenama asal Britain itu.

Dan tidak seperti tipikal kruiser lain, posisi tunggangan Royal Enfield Super Meteor 650 boleh dikatakan unik dan sedikit tegak dengan peg kaki tidak begitu ke depan selain bar hendal yang lebar.

Di bahagian trenkuasa, Royal Enfield Super Meteor 650 dipadankan dengan enjin yang sama dengan dua model terhangat jenama itu, Continental GT 650 dan Interceptor 650 yang sudah dijual di pasaran tempatan.

Jadi, ia dipacu enjin bersesaran 650 cc, 2 Silinder Parellel Twin, 8 Injap, Penyejuk Air/Minyak, Suntikan Bahan Api dan digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan dikatakan berada pada angka 47 PS pada 7,250 rpm dan tork 52.3 Nm pada 5,650 rpm.

Dengan berat 241 kg, suspensi depan dikendalikan fork jenis terbalik (USD) - pertama kali buat model Royal Enfield manakala suspensi belakang menggunakan penyerap hentak berkembar dengan ciri pelarasan (preload).

Sistem brek menggunakan cakera tunggal bersaiz 320 mm dengan kaliper 2 piston (depan) dan cakera tunggal 300 mm juga dengan kaliper 2 piston lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Di bahagian panel meter, ia menggunakan kombinasi analog/digital yang lengkap dengan ciri sambungan ke telefon pintar.

Ciri-ciri lain adalah seperti set roda bersaiz 100/90-19 (depan) dan 150/80-16 (belakang), kapasiti bahan bakar 15.7 liter dan pengecas USB.