ROYAL Enfield Super Meteor 650 (2023) Rasmi Di Malaysia, Harga Mula RM 37.9k, 3 Varian!

PELANCARAN

9/24/20232 min read

ROYAL Enfield Malaysia secara rasmi melancarkan salah satu model yang amat dinantikan peminat jenama itu di pasaran tempatan, Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) dan seperti dijangka, bersama penawaran harga cukup menarik.

Dirasmikan ketika acara Desaru International Bike Week 2023 yang sedang berlangsung, tiga varian Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) diumumkan.

Perinciannya adalah seperti berikut:

  • Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) Astral (Single) - RM 37,900

  • Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) Interstellar (Dual) - RM 38,300

  • Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) Celestial (Tourer) - RM 39,300

Secara keseluruhan, ada tujuh pilihan warna boleh dipilih mengikut varian selain kehendak pembeli ditawarkan oleh Royal Enfield Malaysia untuk Super Meteor 650 (2023).

Sebelum ini, Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) ditayangkan buat kali pertama di acara Art of Speed (AoS) 2023 pada Julai lalu dan di peringkat global, ia membuat kemunculan di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2022 dan mendapat maklum balas cukup baik termasuk daripada media antarabangsa.

Dijual pada harga sedikit tinggi, varian Tourer turut dilengkapi dengan pelbagai aksesori termasuk visor angin, pelana 'deluxe' touring dan bar rehat pembonceng.

Mengulas rekaan dan penggayaan Royal Enfield Super Meteor 650 adalah motosikal dalam segmen 'easy rider' kruiser namun tampil dengan 'adunan' asli jenama asal Britain itu.

Tidak seperti tipikal motosikal kruiser lain, posisi tunggangan Royal Enfield Super Meteor 650 boleh dikatakan unik dan sedikit tegak dengan peg kaki tidak begitu ke depan selain bar hendal yang lebar.

Di bahagian trenkuasa, Royal Enfield Super Meteor 650 dipadankan dengan enjin yang sama dengan dua model terhangat jenama itu, Continental GT 650 dan Interceptor 650 yang sudah dijual di pasaran tempatan.

Justeru, ia dipacu enjin bersesaran 650 cc, 2 Silinder Parellel Twin, 8 Injap, Penyejuk Air/Minyak, Suntikan Bahan Api dan digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Sekalipun menggunakan enjin yang sama, Royal Enfield Super Meteor 650 diberikan talaan berbeza dan menyaksikan hamburan kuasanya lebih 'linear' dan lancar bagi tunggangan lebih tenang. Kuasa yang dihamburkan berada pada angka 47 PS pada 7,250 rpm dan tork 52.3 Nm pada 5,650 rpm.

Memiliki berat 241 kg, suspensi depan motosikal ini dikendalikan fork jenis terbalik (USD) - pertama kali buat model Royal Enfield manakala suspensi belakang menggunakan penyerap hentak berkembar dengan ciri pelarasan (preload).

Sistem brek menggunakan cakera tunggal bersaiz 320 mm dengan kaliper 2 piston (depan) dan cakera tunggal 300 mm juga dengan kaliper 2 piston lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Di bahagian panel meter, ia menggunakan kombinasi analog/digital yang lengkap dengan ciri sambungan ke telefon pintar. Ciri-ciri lain adalah seperti set roda bersaiz 100/90-19 (depan) dan 150/80-16 (belakang), kapasiti bahan bakar 15.7 liter dan pengecas USB.

Sebelum pelancaran, kami di MotoDotMy.com turut diberi peluang untuk menguji ringkas keupayaan Royal Enfield Super Meteor 650. Jadi, tunggu ulasan daripada kami tidak lama lagi.

Dan kepada yang berminat, Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) sudah pun boleh didapati di cawangan pengendar Royal Enfield Malaysia di seluruh negara.