ROYAL Enfield Super Meteor 650 Dapat Warna Baharu Di Malaysia, Harga Kekal!

TERKINI

4/29/20241 min read

ROYAL Enfield Super Meteor 650 rasmi memasuki pasaran Malaysia pada September tahun lalu dan tak menunggu lama, dua pilihan warna baharu diperkenalkan bagi versi 2024.

Dua pilihan warna baharu yang ditawarkan dan dikatakan lebih menarik untuk varian Astral itu adalah Interstellar Grey dan Astral Green.

Apa yang menarik, tiada peningkatan harga berlaku untuk kemas kini terbaharu iaitu RM 37,900 (asas), tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Seperti diketahui, Royal Enfield Super Meteor 650 adalah motosikal yang diposisikan dalam segmen 'easy rider' kruiser namun tampil dengan 'adunan' asli jenama asal Britain itu.

Tidak seperti tipikal motosikal kruiser lain, posisi tunggangan Royal Enfield Super Meteor 650 boleh dikatakan unik dan sedikit tegak dengan peg kaki tidak begitu ke depan selain bar hendal yang lebar.

Mengulas trenkuasa, Royal Enfield Super Meteor 650 dipadankan dengan enjin yang sama dengan dua model terhangat jenama itu, Continental GT 650 dan Interceptor 650 yang sudah dijual di pasaran tempatan.

Dengan enjin bersesaran 650 cc, 2 Silinder Parellel Twin, 8 Injap, Penyejuk Air/Minyak, Suntikan Bahan Api dan digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, ia menghasilkan kuasa 47 PS pada 7,250 rpm dan tork 52.3 Nm pada 5,650 rpm.

Selain pengenalan pilihan warna baharu, Royal Enfield turut mengumumkan pembukaan rasmi bilik pameran baharu Royal Enfield Petaling Jaya yang kini terletak di Pacific Tower.