JORGE Martin sudah kerap kali ditanya mengenai soalan sama ada dia akan menggunakan plat nombor 1 atau tidak dalam kempen debutnya bersama Aprilia di MotoGP musim depan.
Begitupun, tiada jawapan konkrit yang dapat diberikan oleh pelumba kelahiran Sepanyol itu sehingga kini.
Seperti diketahui, Martin menjulang gelaran dunia MotoGP pertamanya bersama Pramac Ducati musim ini namun pasukan yang diwakilinya tahun depan adalah pasukan pencabar, Aprilia.
Justeru, ia mencetus persoalan dengan Ducati dan Aprilia saling berbalas kenyataan mengenai perkara berkenaan dengan Martin setakat ini masih menggunakan nombor 89 dalam senarai namun ia boleh berubah sejurus kempen membuka tirainya.
"Ia satu tanggungjawab yang besar untuk menggunakan nombor 1. Saya masih belum tahu (sama ada ingin menggunakannya). Tidak ramai orang yang berjaya memenangi sekali lagi untuk menggunakan nombor 1," kata Martin memetik laporan MotoGP.com baru-baru ini.
Setakat ini, hanya Francesco Bagnaia, pelumba yang dikalahkan Martin untuk menjulang gelaran dunia musim ini menjadi satu-satunya pelumba yang berjaya mempertahankan angka berkenaan dalam era MotoGP moden.
Ketika ditanya mengenai kenyataan bos Ducati Lenovo, Davide Tardozzi membabitkan persoalan itu, Martin berkata ia sesuatu yang lucu.
"Saya melihat mesej itu (di TV) sebelum perlumbaan (Barcelona) dan saya ketawa. Dari satu sudut, saya tidak mahu mendengarnya, tetapi satu sudut lain, jika saya mendapatkan nombor itu, saya layak mendapatkannya.
"Saya tidak kisah jika saya mengekalkannya atau tidak. Jika saya menggunakan nombor satu untuk setahun, saya akan mempunyai banyak gambar mengenainya di rumah saya. Saya tidak kisah jika saya tidak dapat mengekalkannya di masa depan... kita tunggu dan lihat."