RUNGUTAN Fabio Quartararo Mula Menjengkelkan Yamaha
Bos Yamaha MotoGP, Paolo Pavesio berkata apa yang dilakukan oleh Fabio Quartararo tidak membantu komitmen syarikat dalam terhadap projek untuk membangkitkan semula pasukan itu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/5/20251 min read


YAMAHA tampak tidak dapat lagi 'berdiam diri' dengan kritikan secara terbuka juara dunia 2021, Fabio Quartararo terhadap prestasi pengeluar Jepun itu.
Memetik laporan Speedweek, bos Yamaha MotoGP, Paolo Pavesio berkata apa yang dilakukan oleh Quartararo itu tidak membantu komitmen syarikat dalam terhadap projek untuk membangkitkan semula pasukan itu khususnya membabitkan enjin V4 yang diharap mampu mengembalikan mereka ke barisan hadapan.
Selepas bertahun-tahun bergelut dengan prestasi, hubungan kedua-duanya Yamaha dan pelumba asal Perancis itu makin tegang apabila pengurusan pasukan mula menunjukkan rasa kurang senang terhadap rungutan berterusan pelumba itu mengenai jentera Yamaha M1.
“Dari sudut manusia, saya faham rasa kecewa yang kadang-kadang timbul. Tetapi kita semua profesional dan berada dalam kapal yang sama. Kami beri peluang kepadanya untuk berlumba dengan Yamaha, dan dia terima.
"Merungut terlalu banyak secara terbuka tidak membantu komitmen syarikat,” katanya.
Seperti diketahui, Yamaha mengesahkan Grand Prix Valencia sebagai penampilan terakhir enjin 4 Silinder Sebaris yang sebelum ini menjadi identiti mereka.
Projek V4 kini menjadi taruhan utama yang sudah mengharungi beberapa siri ujian bersama pelumba termasuk penampilan wildcard pelumba ujian Augusto Fernandez.
Untuk Yamaha, kejayaan V4 bukan sahaja penting untuk prestasi malah menjadi faktor penentu dalam memujuk Quartararo menyambung kontrak selepas 2026.
Walaupun mencatat masa lebih pantas dengan V4 berbanding M1 pada ujian Valencia, Quartararo masih berhati-hati dan enggan memberi pujian menggunung. Malah, sejak ujian pertama di Misano, pelumba Perancis itu lebih banyak menzahirkan rasa tidak puas hati berbanding keyakinan.
Malah kata-kata Quartararo antaranya menyatakan dia 'tidak ada masa' untuk menunggu V4 menjadi kompetitif tampak menambah tekanan kepada Yamaha.
Quartararo pada musim ini menamatkan saingan di kedudukan kesembilan keseluruhan, 122 mata di depan pelumba kedua terbaik Yamaha, Jack Miller.
Menariknya, juara dunia MotoGP 2021 itu berjaya meraih lima kali petak utama dan podium di Jerez dengan isu peranti ketinggian jentera menafikan peluangnya untuk menang di GP Britain.

