SABAR Dulu Martin... Pecco Bagnaia Juarai Sprint GP Barcelona

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/16/20241 min read

FRANCESCO Bagnaia mengheret pertarungan merebut gelaran dunia MotoGP 2024 ke perlumbaan terakhir musim ini selepas menjuarai Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Barcelona di Catalunya, Sepanyol, hari ini.

Kemenangan pelumba Ducati Lenovo itu ditambah dengan kedudukan tempat ketiga yang diraih pendahulu kejuaraan, Jorge Martin menyaksikan jurang itu menguncup kepada 19 mata berbanding 24 mata sebelum perlumbaan berlangsung.

Martin dari Pramac Ducati sebelum ini hanya perlu meningkatkan jurang mata yang dimiliki kepada dua mata namun sebaliknya berlaku.

Malah kedudukan kedua yang diisinya hampir keseluruhan perlumbaan dirampas oleh rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini di pusingan terakhir perlumbaan.

Keputusan itu turut menyaksikan Martin perlu menamatkan perlumbaan esok sekurang-kurangnya di kedudukan ke-9 untuk mengesahkan kejuaraan.

Memulakan perlumbaan di petak keempat, Martin memperoleh permulaan yang baik namun harapannya untuk mencabar Bagnaia yang memulakan kempen di grid utama tidak kesampaian apabila Bastianini tampak seakan cuba menghalang gerakannya.

Dan sekalipun berjaya memintas Bastianini selepas itu, Martin sukar untuk merapatkan kedudukan dengan Bagnaia yang tampak cukup selesa memimpin perlumbaan.

Situasi itu akhirnya digunakan sepenuhnya 'The Beast' untuk menafikan tempat kedua buat Martin yang sekadar menggelengkan kepala susulan gerakan yang cukup menarik pada selekoh kelima di pusingan terakhir.

'Pakar' Catalunya yang diharapkan dapat memberikan 'bantuan' kepada Martin, Aleix Espargaro dari Aprilia Racing menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Alex Marquez dari Gresini Ducati yang pada satu ketika dilihat mampu mencabar Bastianini menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima selepas melakukan kesilapan pada selekoh 10 dengan rakan sepasukan Martin, Franco Morbidelli keenam.

Marc Marquez juga dari Gresini Ducati melepasi garisan penamat di tempat ketujuh diikuti Marco Bezzecchi (VR46 Ducati) kelapan dan Brad Binder dari Red Bull KTM meraih mata terakhir di kedudukan ke-9.

Pelumba terbaik pengeluar Jepun diisi pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo di tempat ke-10 manakala Johann Zarco sekali lagi menjadi pelumba terbaik Honda selepas melepasi garisan penamat di kedudukan ke-11.