SABAR Jorge Martin, Pecco Bagnaia Heret Penentuan Kejuaraan Ke Pusingan Terakhir
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/2/20242 min read


FRANCESCO Bagnaia tampil dengan tunggangan cukup agresif ketika memastikan kemenangan di Grand Prix Malaysia, hari ini menjadi miliknya yang turut menyaksikan tiada gelaran dunia MotoGP disahkan di Sepang.
Kemenangan pelumba Ducati Lenovo itu turut memaksa pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dari Pramac Ducati untuk bersabar dengan penentuan terpaksa ditentukan di pusingan terakhir.
Begitupun, belum ada pengesahan mengenai lokasi perlumbaan akan dianjurkan dengan Barcelona, Sepanyol dikhabarkan menjadi pilihan utama.
Ketinggalan 29 mata sebelum perlumbaan, kemenangan Bagnaia menyaksikan angka itu dicantas kepada 24 mata.
Bagnaia yang memulakan perlumbaan meraih permulaan yang baik tetapi saingan terpaksa dimulakan semula susulan kemalangan yang membabitkan tiga pelumba seawal pusingan pertama - Fabio Quartararo, Brad Binder dan Jack Miller.
Situasi sama berulang selepas perlumbaan dimulakan semula dengan kedua-dua pelumba di depan - Bagnaia dan Martin saling memintas satu sama lain.
Dan situasi itu kekal sehingga pusingan ke-3 sebelum Martin mula sedar yang dia tidak sepatutnya begitu agresif dan mengendurkan tekanannnya.
Sekalipun Martin pada satu ketika tampak seperti mahu dicabar Marc Marquez, pelumba Gresini Ducati itu begitupun terjatuh di pusingan ke-7.
Situasi menyaksikan Bagnaia selesa memimpin perlumbaan dan melepasi garisan penamat dengan kelebihan 3.141 saat di depan Martin selain menjuarai kemenangan GP ke-10 musim ini.
Rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini meraih tempat ketiga yang menyaksikan Ducati sekali lagi mendominasi podium manakala Marquez yang kembali menyertai perlumbaan melepasi garisan penamat di tempat ke-12.
Daripada tiga pelumba yang kemalangan di awal perlumbaan, hanya pelumba Monster Yamaha kembali ke grid manakala duo KTM Red Bull, Binder dan Miller tidak meneruskan perlumbaan.
Begitupun, tiada kecederaan serius dihadapi oleh kedua-dua pelumba.
Kedudukan ke-4 turut menjadi milik Ducati menerusi Alex Marquez dari Gresini Ducati manakala Pedro Acosta menjadi pelumba terbaik bukan Ducati selepas melepasi garisan penamat di tempat ke-5.
Yamaha meneruskan rentak baik di Sepang selepas Fabio Quartararo mengisi tempat ke-6 mengatasi pelumba terbaik Aprilia, Maverick Vinales (ke-7) dengan seorang lagi pelumba Yamaha, Alex Rins ke-8.
Pelumba terbaik Honda menjadi milik Johann Zarco yang melepasi garisan penamat di kedudukan ke-11.
Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Malaysia 2024
Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), 38m 4.563s
Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), +3.141s
Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +10.484s
Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +12.230s
Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +13.699s
Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +16.245s
Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +19.447s
Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +20.611s
Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), +21.994s
Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +22.174s
Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +25.625s
Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +27.276s
Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +27.604s
Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +27.949s
Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V) +28.838s
Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +38.847s
Andrea Iannone (ITA) VR46 Ducati (GP23), +47.599s
Lorenzo Savadori (ITA) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +48.956s
Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), DNF
Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF
Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), DNF
Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), DNF
