SABTU Yang Sempurna - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/1/20251 min read


MARC Marquez menggambarkan apa yang diperolehnya di Grand Prix (GP) Thailand, hari ini sebagai 'Sabtu yang sempurna' selepas pelumba Ducati Lenovo itu meraih petak utama sebelum cemerlang menjuarai Perlumbaan Sprint.
Selepas mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan di sebelah pagi di Buriram, juara dunia lapan kali itu menguasai Perlumbaan Sprint dengan memimpin perlumbaan sejak awal sehingga garisan penamat.
Keputusan menyaksikan pelumba kelahiran Sepanyol itu kembali mengisi tangga teratas carta kedudukan pelumba buat pertama kali sejak musim 2019 ketika masih bergelar pelumba Honda.
Lebih menarik, Marquez menewaskan adiknya Alex Marquez yang berlumba dengan pasukan Gresini Ducati dan rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia melengkapkan kedudukan podium.
"Sudah tentu, hari ini penting kerana jangkaan adalah tinggi," kata Marquez memetik laporan Crash.net. "Saya cuba menggunakan pengalaman saya dan cuba untuk merasai jangkaan itu.
"Tetapi pada akhirnya, sesuatu tiba. Kami memperoleh Sabtu yang sempurna, petak utama dan kemenangan Perlumbaan Sprint. Sebagai tambahan, adik saya menamatkan perlumbaan di tempat kledua. Jadi saya lebih gembira.
"Tetapi ini baru Sabtu pertama (dalam MotoGP) pada tahun ini, ia baru hari Sabtu. Sukan boleh berubah setiap hari. Jadi saya gembira tetapi bukanlah terlalu gembira kerana saya tahu esok adalah hari yang penting."
Marquez dalam pada itu mengakui dia belum mengeluarkan semua 'senjatanya' pada Perlumbaan Sprint yang berlangsung sebanyak 13 pusingan.
"Ia bergantung, kerana kadang kala jika kamu berterusan memberi tekanan pada 100 peratus kamu boleh melakukan kesilapan," katanya. "Tetapi saya cuba untuk menguruskan jarak di antara saya dan pelumba di tempat kedua.
"Apa yang saya faham selepas bertahun-tahun di MotoGP, tidak kisah jika kamu menang dengan kelebihan satu, dua atau tiga saat. Jadi hari ini saya cuba menguruskan jurang, cuba untuk memahami apa yang kami perlukan esok."
