SACHSENRING Uji Ketahanan Hakim Danish, P10, Tapi Masih Pendahulu Kejuaraan!

Impian pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk bangkit pada Pusingan kelima kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 tidak kesampaian

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/12/20251 min read

Hakim Danish
Hakim Danish

KEBANGKITAN yang diharapkan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli di Sachsenring yang terkenal dengan selekoh kiri tajam pada Perlumbaan 1 Pusingan 5 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025, malam tadi tidak kesampaian.

Dalam perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan litar separa basah, pelumba berbakat negara berusia 17 tahun itu sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.

Bermula di petak ke-12, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya naik beberapa posisi malah pada satu ketika berada di tempat ke-7 sebelum cabarannya kembali pudar.

Pencabar utamanya dari Sepanyol, Brian Uriarte terus mencuri tumpuan apabila muncul juara dan menariknya, menunggu sehingga saat akhir untuk meraih kejayaan itu.

Pelumba Indonesia, Kiandra Ramadhipa yang tampil dengan persembahan baik terpaksa berpuas hati sebagai juara sekali pun dilihat hampir bergelar juara sebelum dipintas Uriarte di saat akhir.

Melengkapkan kedudukan podium adalah pelumba Perancis, Guillem Planques.

Keputusan pada Perlumbaan 1 itu begitupun masih mengekalkan kedudukan Hakim Danish sebagai pendahulu carta keseluruhan RBMRC dengan mengumpul 154 mata daripada sembilan perlumbaan.

Begitupun, jurangnya dengan Uriarte makin kecil dan hanya dibezakan dengan 13 mata berbanding 32 mata sebelum perlumbaan berlangsung.

Sebagai rekod, kempen RBMRC musim ini menjadi pentas penting buat Hakim Danish membuktikan keupayaan sebelum melangkah ke kelas lebih tinggi iaitu Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia pada tahun depan.