SAH, Pecco Bagnaia, Ducati 'Berpisah' Hujung Musim Ini
Sepanjang 8 tahun, Pecco Bagnaia berjaya memahat namanya sebagai penunggang paling berjaya dalam sejarah Ducati apabila cemerlang merangkul dua gelaran dunia, 31 kemenangan, 63 penamat di podium serta 28 petak pertama
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/24/20261 min read


JUARA dunia MotoGP dua kali, Francesco Bagnaia sah akan meninggalkan Ducati Lenovo pada penghujung musim ini sekali gus mengakhiri kerjasama mengagumkan yang terjalin selama lapan musim.
Begitupun seperti rakan sepasukannya Marc Marquez yang kekal 'Merah', pengumuman ini tidak mengejutkan dan sudah pun dijangka.
Kekosongan ditinggalkan Bagnaia dilaporkan akan diisi oleh 'budak ajaib', Pedro Acosta, manakala pelumba kelahiran Itali itu kini dijangka akan menyertai Aprilia bagi bergandingan dengan rakannya Marco Bezzecchi.
Kempen MotoGP 2027 bakal melakar lembaran baharu bukan sahaja buat sukan MotoGP yang beralih ke era enjin 850 cc dan tayar Pirelli, tetapi juga buat Bagnaia yang menghabiskan seluruh karier kelas perdananya bersama Ducati bermula dengan pasukan Pramac pada 2019 sebelum diserap ke skuad kilang Ducati Lenovo pada 2021.
Sepanjang tempoh itu, pelumba berusia 27 tahun itu berjaya memahat namanya sebagai penunggang paling berjaya dalam sejarah Ducati apabila cemerlang merangkul dua gelaran dunia, 31 kemenangan, 63 penamat di podium serta 28 petak pertama.
Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall'Igna mengakui Bagnaia adalah penunggang yang cepat mencipta keserasian sejak awal, lantas mendorong pengeluar itu membina satu projek besar di sekelilingnya sejak dia masih muda.
"Dia seorang yang pantas dan yang paling penting, bijak. Matlamat kami adalah untuk membawa jentera Desmosedici GP ke tahap potensi maksimumnya dan kami berjaya mencapainya berkat kerja keras pasukan serta teknologi canggih.
"Namun, ia terhasil terutama sekali berkat bakat Pecco (Bagnaia) sendiri yang sudah mengembalikan warna merah Ducati ke puncak kedudukan selepas 15 tahun," katanya.

