SAH, Tiada Kelibat Jonathan Rea Di Phillip Island!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/17/20251 min read


JUARA dunia enam kali WorldSBK, Jonathan Rea sah terlepas perlumbaan pembukaan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2025 di Phillip Island susulan kecederaan yang dihadapi ketika kemalangan, hari ini.
Pelumba kelahiran Britain itu berdepan kemalangan ngeri pada ujian di sesi pagi selepas terjatuh di Selekoh 2 yang mengakibatkan bendera merah dikibarkan di litar.
"Jonathan Rea akan terlepas pusingan pembukaan Kejuaraan Superbike Dunia FIM selepas mengalami kemalangan pada hari pertama ujian di litar Phillip Island," kata Yamaha Racing dalam satu kenyataan.
"Rea terjatuh ketika keluar daripada Selekoh 2 pada penghujung sesi ujian.
"Dia dibawa ke pusat perubatan litar, sebelum dipindahkan ke Cowes (pusat bandar Phillip Island) untuk penilaian lanjut di mana dia disahkan mengalami kecederaan patah tulang di beberapa bahagian pada kaki kiri.
"Dia tidak akan mengambil sebarang bahagian dalam ujian atau perlumbaan pada hujung minggu ini."
Selain Rea, turut mengalami kemalangan adalah penyandang juara dunia tahun lalu, Toprak Razgatlioglu tetapi pelumba Turki itu disahkan cergas untuk menjalani ujian sebelah petang.
