SAKIT Kaki Rencat Persembahan Damok Di Motegi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/2/20231 min read

TIADA 'kebangkitan' dapat dilakar pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman di Grand Prix (GP) Jepun 2023 di Motegi tatkala kedudukannya dalam kancah berkenaan musim depan masih dalam keadaan samar.

Ketika di GP India sebelum ini, Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok disahkan oleh pasukannya MT Helmets-MSI yang dirinya tidak akan disambung kontrak pada musim depan.

Tidak mahu terkesan dengan pengumuman itu, Damok menyasarkan untuk melakar kebangkitan di Jepun tetapi apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan apabila dia sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-19.

Keputusan itu jelas membuktikan yang Damok terus bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jenteranya tetapi menurut pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu, kesakitan di kakinya merencatkan perancangannya.

"Pada perlumbaan, saya kecewa dengan diri saya kerana saya mengalami sakit pada bahagian kaki kiri dan tidak dapat menurunkan downshift dengan baik," kata Damok.

"Pada awal perlumbaan, saya berada dalam kedudukan yang baik dan berada dalam kedudukan pungutan mata.

"Selepas 10 pusingan saya sudah tidak dapat merasakan kaki saya dan saya cuba untuk kekalkan momentum saya sehingga tamat perlumbaan.

"Pada pusingan akhir, dua pelumba memintas saya, dan saya memang kecewa dengan keputusan saya dalam perlumbaan tadi.

"Apa-apa pun saya perlu kembali ke Malaysia dan dapatkan rawatan untuk kaki. Saya harap saya dapat melakukan dengan lebih baik lagi di Indonesia dari perlumbaan saya di Jepun.”

Selepas 14 pusingan perlumbaan, Damok ketika ini hanya berjaya mengumpul 5 mata kejuaraan dan menghuni kedudukan ke-25 dalam carta pelumba Moto3 2023.