SAKIT Kepala Halang Adam Berlumba, KIP Tetap Positif
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/12/20241 min read


KEMARAU pungutan mata berterusan buat pelumba negara, Adam Norrodin selesai Pusingan 7 WSBK 2024 di Portimao, Portugal dan lebih mengecewakan buat pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu, dua perlumbaan terakhir terpaksa diketepikan susulan masalah kesihatan.
Tiba di Portugal dengan semangat tinggi selepas tersisih aksi di Republik Czech akibat kecederaan, Adam yang berlumba menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R berjaya menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-20.
Begitupun, masalah sakit kepala yang teruk memaksa pelumba kelahiran Johor itu tidak beraksi pada Perlumbaan Superpole dan Perlumbaan 2.
"Saya rasa tidak begitu sihat pada Perlumbaan 1. Saya mengalami sakit kepala yang kuat sepanjang malam, dan saya keadaan saya tidak begitu baik ketika saya mengharungi sesi pemanas badan.
"Saya cuba memberikan yang terbaik tetapi saya fikir lebih baik saya pergi ke pusat perubatan selepas pemanas badan.
"Doktor memberitahu yang saya tidak sepatutnya berlumba jadi itulah yang berlaku.
"Masih ada perkara positif berlaku pada minggu ini dan saya merasakan yang kami melihat ada penambahbaikkan di beberapa kawasan jadi harapnya kami boleh membawanya ke pusingan seterusnya."
Sementara itu, Khairul Idham Pawi atau KIP yang beraksi dalam kelas WorldSSP mengakui dia mengharapkan keputusan lebih baik di Portimao.
Selepas menamatkan Perlumbaan 1 dengan status 'DNF' akibat masalah jentera, pelumba kelahiran Perak itu berjaya menamatkan Perlumbaan 2 tetapi tempat ke-19 terus menyaksikannya kempunan meraih sebarang mata.
"Saya mengharapkan dapat melakukan lebih sedikit pada Perlumbaan 2 tetapi sekurang-kurangnya kami dapat melepasi garisan penamat dan mengutip lebih banyak data," kata KIP.
"Bukan minggu yang mudah tetapi kami terus belajar. Kami mempunyai tempoh beberapa minggu sebelum pusingan berikutnya dan saya akan menggunakan masa itu untuk berlatih dan bersedia sebaik mungkin untuk menghadapi Magny-Cours.
"Kami berharap untuk melakukan lebih banyak kemajuan di sana."
