KESAKITAN daripada kecederaan patah tulang rusuk susulan kemalangan di Magny-Cours hampir membuatkan pelumba Ducati, Alvaro Bautista melupakan Perlumbaan 1 WorldSBK di Cremona, Itali, semalam.
Bautista yang juga penyandang juara dunia WorldSBK tampak bergelut untuk menampilkan prestasi terbaiknya dan terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-13.
Begitupun, pelumba kelahiran Sepanyol itu berjaya mencipta keajaiban apabila melepasi garisan penamat di posisi podium dan hanya tewas kepada rakan sepasukannya di Aruba.it Racing Ducati, Nicolo Bulega dan pemenang, Danilo Petrucci dari Barni Spark Racing Ducati.
Tetapi kejayaan yang diraih Bautista tidak mudah dia hanya berjaya berjaya berada di posisi berkenaan di penghujung perlumbaan yang terpaksa ditamatkan sedikit awal susulan masalah teknikal litar.
"Ia Sabtu yang sukar," kata Bautista kepada WorldSBK.com. "Apabila saya memberikan lebih tekanan, saya merasakan saya kehilangan kekuatan di bahagian rusuk saya.
"Pada beberapa pusingan pertama saya merasa sakit jadi saya tidak boleh bersaing dengan pelumba-pelumba lain dan hanya cuba untuk berada di atas jentera saya," kata Bautista.
"Jadi saya berkata 'Selepas lima atau enam pusingan jika saya masih merasai perkara ini saya perlu menamatkan perlumbaan'.
"Pusingan demi pusingan, kesakitan yang saya rasa mula berkurangan dan saya dapat bergerak dengan lebih baik dan lebih agresif, memperbaiki kepantasan saya. Saya boleh mula memintas.
"Saya tidak menjangkakan untuk menamatkan perlumbaan di podium, jadi saya amat gembira. Malah saya langsung tidak tahu jika saya dapat berlumba minggu ini, jadi untuk menamatkan perlumbaan di podium selepas bermula di barisan belakang memberikan perasaan yang istimewa."