SALAH Saya Sendiri, Maaf Semua - Pedro Acosta

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/5/20241 min read

PEDRO Acosta berkata 'malang' yang menimpanya ketika Perlumbaan Sprint di GP Jepun 2024 di Motegi adalah disebabkan kesilapannya sendiri.

Pelumba 'Rookie' tunggal MotoGP musim ini itu tampak berada di prestasi terbaiknya apabila mengungguli sesi kelayakan di Motegi dan berjaya memimpin perlumbaan sebelum terjatuh ketika berbaki tiga pusingan.

Berdasarkan rekod, Acosta pernah berdepan insiden sama sebelum ini dalam kariernya ketika di Moto3 pada 2021 di GP Valencia dan Moto2 di GP Perancis pada 2022.

"Ia adalah kesilapan peribadi," kata Acosta kepada Motogp.com. "Saya bergerak agak 'wide' pada selekoh ke-6 dan kemudian memperoleh sedikit 'angle' dan kemudian sedikit 'wide' pada selekoh 7.

"Apapun, ia sudah menjadi tradisi untuk saya kemalangan selepas bermula di petak utama dalam semua kelas.

"Esok adalah kali kedua saya bermula di petak pertama. Secara normalnya yang kedua lebih baik."

Sebelum kemalangan, Acosta berjaya mencipta jurang agak besar dengan pelumba di belakangnya tetapi mengakui tidak merasa sebarang tekanan sebelum jatuh.

"Saya agak selamat kerana kami tidak menunggang dengan amat laju," katanya. "Ia adalah kesilapan yang bodoh, tetapi apapun kami perlu menerimanya dan ia adalah kesilapan saya.

"Maaf kepada KTM, maaf kepada keseluruhan pasukan, maaf kepada semua orang yang terbabit dengan projek ini kerana hari ini adalah kesilapan saya.

"Tetapi kami menjadi lebih hampir daripada apa yang kami jangkakan pada musim ini. Sudah pasti ia sukar untuk dihadapi, tetapi kami perlu meneruskannya seperti ini."

Prestasi yang ditampilkan Acosta turut membuatkan Francesco Bagnaia berkata juara dunia Moto2 musim lalu itu bakal menjadi pencabar utama ketika perlumbaan MotoGP esok.