'SALAH Susun Strategi'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/31/20251 min read

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli mengakui kesilapan dalam penyusunan strategi merencatkan peluangnya untuk meraih catatan terbaik ketika sesi kelayakan Pusingan 2 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Jerez, Sepanyol, semalam.

Selepas menempatkan diri secara terus ke Kelayakan 2 (Q2) selepas melakukan catatan ke-7 terpantas ketika sesi latihan terakhir, Hakim Danish yang berlumba bersama pasukan SIC Racing MSi sekadar melakukan catatan ke-13 terpantas ketika kelayakan.

Malah, catatan masa yang dibuatnya jauh daripada catatan ketika latihan iaitu 1 minit (m) 47.039 saat (s) dan ketinggalan 1.702s di belakang Brian Uriarte yang melakukan catatan terpantas.

"Saya agak kecewa dengan sesi kelayakan hari ini di mana ketika kelayakan saya salah susun strategi dan membuatkan saya tak dapat melakukan catatan masa yang 'bersih'," kata pelumba berusia 17 tahun itu.

"Apapun, saya yakin dengan kelajuan yang saya ada ketika latihan dan berharap dapat buat terbaik ketika perlumbaan nanti. Doakan saya," katanya.

Pada Pusingan 1 di Estoril, Portugal awal bulan ini, pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan perlumbaan sebagai naib juara di belakang pelumba Sepanyol, Uriarte.