SAMAN Ubah Suai Ekzos Motosikal 'Paling Popular'
TERKINI
12/27/20231 min read
PENGGUNAAN ekzos 'perang' atau ubah suai ekzos menjadi kesalahan paling 'popular' direkodkan oleh Polis membabitkan kesalahan ubah suai motosikal sepanjang Jan-Nov tahun ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Polis menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengeluarkan 43,157 saman membabitkan kes ubah suai motosikal sepanjang tempoh 11 bulan berkenaan.
Dan berdasarkan jumlah itu, 33,996 saman adalah membabitkan kesalahan ubah suai ekzos.
Selain kesalahan membabitkan ekzos, kesalahan ubah suai struktur dan kelengkapan menyaksikan 9,106 saman dikeluarkan manakala untuk kesalahan ubah suai struktur dan peralatan, 52 saman direkodkan.
Dan bakinya adalah kesalahan ubah suai penggunaan kenderaan iaitu 3 saman.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri kepada Sinar Harian, kesalahan mengubahsuai speksifikasi kenderaan terutamanya motosikal boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah Lalulintas LN170/59.
Untuk kesalahan membabitkan ubah suai ekzos, Polis menjalankan kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Mengulas lanjut, Mohd Azman berkata, operasi motosikal adalah salah satu operasi yang dijalankan secara berkala daripada lapan operasi penting bagi JSPT dan ia dilaksanakan berdasarkan statistik kemalangan membabitkan kenderaan dua roda itu.
Selain itu, JSPT turut mengharapkan agar semua ibu bapa agar memantau dan menegur anak-anak mereka yang mengubah suai spesifikasi motosikal kerana ia merupakan kesalahan.
Sebagai info, kenderaan yang dipasarkan di Malaysia sudah mendapat perakuan spesifikasi keselamatan oleh bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Kementerian Pengangkutan.