SAMBUTAN Merdeka Di Litar, Mannol B2H Endurance Gegar SIC 31 Ogos Ini!
Secara keseluruhan, sejumah 15 pasukan yang membariskan gabungan pelumba profesional dan amatur dari dalam serta luar negara bakal berentap merebut kejuaraan yang bermula jam 4 petang hingga 6 petang di North Paddock, SIC
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/27/20261 min read


SEMPENA sambutan Hari Kebangsaan ke-69 Isnin ini, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyajikan peminat sukan pemotoran 2 roda tempatan dengan penganjuran perlumbaan ketahanan penuh adrenalin terkemuka, Mannol Braaap 2 Hours (B2H) Endurance 2026.
Buat julung kalinya, perlumbaan B2H Endurance 2026 akan menampilkan format ketahanan Superbike selama 2 jam tanpa henti, yang bakal menguji tahap maksimum fizikal pelumba, strategi pasukan, ketahanan jentera, serta kepantasan kru mekanik di hentian pit.
Secara keseluruhan, sejumah 15 pasukan yang membariskan gabungan pelumba profesional dan amatur dari dalam serta luar negara bakal berentap merebut kejuaraan yang bermula jam 4 petang hingga 6 petang di North Paddock, SIC.
Menggunakan format unik '15 pasukan, 2 pelumba, 1 jentera, 2 jam', pemenang pastinya bukan sekadar diukur melalui kelajuan di litar lurus, sebaliknya menuntut konsistensi dan strategi pertukaran pelumba yang sempurna.
Cukup unik, perlumbaan akan turut menggunakan format yang digunakan perlumbaan enduran berprestij lain seperti Le Mans di mana para pelumba perlu berlari dari seberang litar ke jentera masing-masing untuk memulakan perlumbaan.
Acara berprestij ini dianjurkan oleh BRAAAP Motorsports dan disokong penuh oleh Persatuan Automotor Malaysia (MAM). Ia turut diperkasakan oleh Mannol Malaysia selaku penaja utama, SixSpeed Motorworks Pandan Prima (rakan strategik) dan Bridgestone Motorcycle Battlax RS11 (tayar rasmi).
Justeru, kepada orang ramai yang mencari destinasi alternatif selepas menyaksikan perbarisan kemerdekaan di Putrajaya, pihak BRAAAP Motorsports turut membuka pintu seluas-luasnya untuk memeriahkan acara ini dengan tawaran yang cukup menarik.
Antaranya pengunjung berpeluang mendapatkan pas akses ke kawasan paddock, hanya dengan membuat pembelian barangan cenderamata atau produk Mannol Malaysia serendah RM 15 di pintu masuk.
Lebih mengujakan, selain deruman enjin di litar, penganjur turut menyediakan kempen cabutan bertuah dengan hadiah lumayan bernilai melebihi RM 15,000 yang akan berlangsung serentak di Pusat Media, Aras 1.
Jadi, sambil menantikan pemenang perlumbaan, pengunjung turutberpeluang untuk bergelar 'juara' cabutan bertuah terlebih dahulu.

