PELUMBA Repsol Honda, Luca Marini cukup berdedikasi terhadap projek kebangkitan pasukan itu sehingga berusaha untuk mempelajari bahasa Jepun.
Memetik laporan Crash.net, adik kepada legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi itu menyifatkan komunikasi sebagai elemen yang penting terhadap pasukan yang mempunyai krew daripada Asia dan Eropah itu khususnya membabitkan maklum balas penunggang terhadap pembangunan jentera.
"Apabila saya tiba di sini, ramai memberitahu saya yang 'komunikasi dengan orang Jepun lebih sukar. Cuba memperkenalkan diri kamu dengan amat jelas dan cara paling tenang.
"Jadi saya melakukan perkara itu dalam cara terbaik saya mampu. Saya cuba untuk mempelajari bahasa Jepun, saya tidak akan berputus asa, tetapi ia amat sukar," kata Marini.
"Pada awalnya, ia adalah keperluan untuk membina keyakinan di antara kami. Tetapi kini mereka benar-benar mempercayai saya dan saya amat menghargai tanggungjawab ini.
"Saya cuba untuk memberikan maklum balas yang tepat kepada mereka, juga kerana apa yang pelumba rasa terhadap jentera kadang kala sukar untuk dilihat menerusi data.
"Saya benar-benar menghargai budaya dan cara kerja mereka. Ia mengenai cuba untuk mencipta hubungan yang bagus, juga untuk memahami bagaimana mereka berfikir.
"Kerana kadang kala ia sedikit berbeza, kerana budaya mereka dan juga pengalaman, Jadi kami semua cuba untuk berada di pihak yang sama."
Kehadiran Martini di Repsol Honda musim ini seperti diketahui bagi menggantikan juara dunia lapan kali, Marc Marquez yang bertindak menyertai Gresini Ducati.
Pada musim 2023, Marini yang beraksi bersama pasukan VR46 Ducati meraih kempen terbaiknya di MotoGP apabila meraih dua kedudukan podium, dua petak utama dan menamatkan kempen di kedudukan ke-8 keseluruhan.
Tetapi di Honda, perjalanan Marini cukup berliku dan menamatkan kempen 2024 di kedudukan ke-22 keseluruhan, tercorot daripada kesemua pelumba sepenuh masa.