SASARAN Pecco Bagnaia Di Silverstone

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/22/20251 min read

FRANCESCO Bagnaia mengharungi perlumbaan terburuknya dalam era 'Sprint' apabila menamatkan kempen di Le Mans, Perancis tanpa sebarang mata apabila terjatuh dalam kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan di Perancis.

Sekalipun mendakwa bergelut dengan jentera Ducati GP25, Bagnaia berjaya meraih lapan kedudukan podium dalam 10 perlumbaan terakhir sebelum ke Le Mans termasuk kemenangan di COTA susulan kemalangan dihadapi rakan sepasukannya, Marc Marquez.

Tetapi aksi di Perancis jelas sesuatu yang sukar buat pelumba Ducati Lenovo itu apabila terjatuh pada awal perlumbaan Sprint.

Sehari kemudian, selepas menggunakan tayar yang tepat untuk perlumbaan basah, pelumba Itali itu jatuh selepas dilanggar bekas rakan sepasukannya, Enea Bastianini dan sekali pun meneruskan perlumbaan, dia melepasi garisan penamat di tempat ke-16.

Dan Bagnaia kini perlu mencari jalan untuk bangkit di Silverstone, litar yang kali terakhir dimenanginya pada 2022 dan berada di podium pada 2023 dan 2024.

"Pusingan di Le Mans tidak memberikan kami banyak kepuasan. Saya laju dan kompetitif sejak Jumaat, tetapi kemalangan berganda ketika perlumbaan menghalang saya daripada meraih mata," kata Bagnaia.

"Sasarannya (di Silverstone) adalah mendapatkan lebih keyakinan di bahagian depan dan menunggang seperti yang saya mahukan.

"Saya sentiasa kuat di Silverstone sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya menggemari litar dan suasananya dan tidak sabar untuk kembali ke garaj untuk bekerja.

Marc ketika ini sedang memimpin carta kejuaraan dan memiliki kelebihan 29 mata di depan adiknya, Alex (Gresini Ducati) di tempat kedua.

Bagnaia dalam pada itu ketinggalan 51 mata di belakang Marquez yang kali terakhir menang di Silverstone pada 2014.