SASARAN Sama Damok Di Buriram

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/25/20231 min read

SELEPAS mengharungi perlumbaan yang tak diinginkan di Grand Prix (GP) Australia, pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman kembali ke satu lagi negara jiran untuk menghadapi GP Thailand, hujung minggu ini.

Tidak berjaya merealisasikan sasarannya di Phillip Island iaitu untuk mengutip mata, sasaran sama diletakkan pelumba dengan gelaran Damok itu ketika berkunjung ke Buriram.

Mengulas sasarannya di perlumbaan yang dijadual berlangsung sebelum GP Malaysia, Damok menjelaskan dia pernah berlumba di litar berkenaan sebelum yang berkemungkinan memberi manfaat kepadanya.

"Pertama sekali, saya tidak sabar untuk beraksi di Litar Buriram. Walaupun selepas tiga tahun saya tidak beraksi di litar ini, saya masih mengingati reka bentuk litar ini," kata pelumba pasukan Mt Helmets-MSi itu.

"Saya juga bersedia untuk perlumbaan pada minggu ini dan saya harap saya dapat berada di kedudukan yang baik dalam perlumbaan di GP Thailand.

"Fokus saya adalah untuk mendapatkan mata perlumbaan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh ZK Racing.

Pada perlumbaan GP Australia 2023 yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat, Damok pada satu ketika berada dalam posisi pungutan mata iaitu P14 sebelum terbabas.

Selepas mengharungi 16 pusingan, Damok ketika ini menghuni tangga ke-27 keseluruhan selepas mengumpul 5 mata yang diperoleh di GP Argentina.