SATU Lagi Jenama Motosikal Itali Milik China Bakal Masuk Pasaran Tempatan, Kerjasama MForce, MBP Moto!
7/15/20231 min read
SATU lagi jenama Itali namun milik China bakal menerjah pasaran tempatan menerusi MForce Bike Holdings (MForce) iaitu MBP Moto atau nama panjangnya - Moto Bologna Passione.
Seperti ingin mengambil 'prestij' yang dimiliki Itali dalam penghasilan motosikal premium, MBP adalah model yang 'dilahirkan' di Itali yang diasaskan oleh syarikat China, Keeway Motor Group.
Dan seperti diketahui, Keeway adalah antara syarikat subsidiari pengeluar motosikal gergasi China, Qianjiang yang memiliki pelbagai lagi jenama antaranya Benelli dan QJ Motor.
Di Malaysia, MForce adalah pengedar eksklusif pelbagai jenama di bawah Qianjiang yang memberi antaranya Benelli, QJ Motor.
Menurut satu kenyataan ringkas daripada MForce, MBP akan dilancarkan sempena Kuala Lumpur Bike Show 2023 (KLBS 23) yang dijadual berlangsung pada 24 hingga 27 Ogos depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Sedikit info mengenai MBP, syarikat itu membuat debut rasmi di Pameran Motosikal Milan (EICMA) tahun lalu.
Antara model yang ditawarkan dan diletakkan dalam kelas premium adalah MBP T1002V. Dan syarikat itu mempunyai pilihan model yang menyeluruh termasuk dari sesaran enjin 125 cc hingga 1,000 cc.