SAYA Bertuah, GP Malaysia 2025 Antara Perlumbaan Paling Sukar - Joan Mir

Kejayaan meraih tempat ketiga di GP Malaysia adalah kedudukan podium tempat ketiga kedua diperoleh oleh Joan Mir dalam kempem MotoGP musim ini mengikuti kejayaan sama di GP Jepun

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/26/20251 min read

PELUMBA Honda HRC Castrol, Joan Mir menyifatkan penamat podium yang diraihnya dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2025 sebagai 'antara perlumbaan paling sukar dalam kariernya'.

Malah, pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui dia 'bernasib baik' apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Selepas terjatuh pada Perlumbaan Sprint, Mir meletakkan misi untuk bangkit pada perlumbaan utama dan ia dapat dilihat apabila juara dunia MotoGP 2020 bersama Suzuki itu bersaing sengit dengan pelumba Gresini Ducati, Fermin Aldeguer, sebelum pelumba rookie itu terbabas di selekoh 15.

Mir kemudian memintas Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo untuk naik ke kedudukan keempat sebelum nasib jelas menyebelahinya apabila juara dunia, Francesco Bagnaia, terpaksa bersara pada pusingan ke-18 akibat masalah teknikal jentera.

“Ia mungkin salah satu perlumbaan paling sukar dalam hidup saya dari segi pengurusan perlumbaan. Benar kami bernasib baik dengan masalah Pecco (Bagnaia), tetapi tuah sebegini hanya hadir bila anda berjuang untuknya,” katanya pada sidang media selepas perlumbaan.

Mir menjelaskan suhu tayar depan yang meningkat ketika mengekori pelumba lain menyebabkan kesukaran membrek dan meningkatkan penggunaan tayar belakang.

“Sepanjang perlumbaan saya hanya fikir tentang tayar, tekanan, dan cuba kekal pantas,” katanya.

Mir turut mengakui podium ketiga adalah keputusan maksimum yang mampu dicapai kerana dua pelumba di hadapannya, Pedro Acosta dan Alex Marquez, memiliki rentak kelajuan yang lebih baik.

“Kedudukan terbaik kami hari ini memang tempat ketiga. Walaupun saya lakukan kebangkitan, rentak mereka tetap lebih laju,” jelasnya.

Kempen MotpGP dijadual bersambung di Portimao, Portugal (7–9 November) dan Valencia (14–16 November) dengan Mir kini menghuni tangga ke-15 keseluruhan, 14 mata di depan Ai Ogura dan 13 mata di belakang Enea Bastianini.