SAYA Gembira, Bersyukur - Hakim Danish

Teka-teki membabitkan masa depan Hakim Danish berakhir apabila lanjutan kontrak untuk kekal bersama pasukan itu bagi mengharungi kempen Moto3 musim 2027 berjaya ditandatangani

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/11/20261 min read

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli menyifatkan peluang untuk terus menyarung sut pasukan MSi Racing Team dalam kempen Moto3 musim depan sebagai tonik bagi perkembangan kariernya di kancah Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Teka-teki membabitkan masa depan pelumba berusia 19 tahun itu berakhir apabila lanjutan kontrak bersama pasukan itu bagi mengharungi kempen musim 2027 berjaya ditandatangani.

"Saya benar-benar gembira dan bersyukur kerana dapat meneruskan kerjaya bersama MSi Racing Team untuk musim 2027," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Hakim Danish dalam pada itu menjelaskan keharmonian persekitaran kerja serta sistem sokongan yang diterapkan oleh krew pasukan menjadi faktor utama dia tidak teragak-agak untuk memeterai lanjutan perjanjian itu.

"Kami sudah membina hubungan yang sangat baik sepanjang musim ini dan pasukan sentiasa memberikan sokongan kepada saya, sama ada di dalam mahupun di luar litar.

"Saya tidak sabar untuk terus bekerja keras bersama pasukan dan memburu keputusan yang lebih baik pada musim depan," katanya.

Lanjutan kontrak ini pasti memberikan kelebihan psikologi buat Hakim Danish yang membolehkannya memberikan tumpuan 100 peratus terhadap baki perlumbaan musim ini tanpa perlu lagi dibelenggu tanda tanya mengenai hala tuju kariernya pada tahun hadapan.