SAYA Gembira - Pecco Bagnaia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/29/20251 min read

FRANCESCO Bagnaia percaya dia melakukan kemajuan khususnya dari sudut 'perasaan' disebalik catatan ke-10 terpantas yang dicipta pada hari pertama Grand Prix (GP) Amerika Syarikat 2025 di Austin.

Pelumba Ducati Lenovo itu memulakan sesi pertama dalam keadaan litar basah di COTA dengan melakukan catatan ke-6 terpantas sebelum mengisi kedudukan terakhir ke Kelayakan 2 (Q2) pada sesi kedua.

Dan sekalipun kedudukan yang diperoleh agak 'jauh' daripada lima lagi pelumba Ducati yang berada di trek diketuai rakan sepasukannya Marc Marquez, pelumba Itali itu kekal optimis.

"Buat kali pertama saya gembira pada hari Jumaat dengan perasaan saya terhadap jentera," kata Bagnaia. "Saya amat gembira pada ketika litar basah, secara normalnya saya memerlukan masa untuk kompetitif dan sejak dari pusingan pertama perasaan saya bagus.

"Kemudian pada tengah hari, keseluruhan sesi bagus. Saya hanya melakukan keputusan yang salah untuk menggunakan tayar jenis lembut pada 10 minit terakhir ujian.

"Kami tahu yang saya sentiasa bergelut dengan banyak dalam pengurusan tayar. Pelumba-pelumba Ducati yang lain lebih baik dalam perkara itu, dan saya tahu yang ia adalah titik kelemahan saya.

"Tetapi selain daripada itu, saya gembira. Perasaan ketika membrek, perasaan ketika memasuki selekoh lebih baik dan ia adalah sesuatu yang kami cari.

"Kami cuba untuk menyelesaikan masalah kami sesi demi sesi, dan saya fikir kami semakin hampir dengan perasaan terbaik saya.

"Ketika ini, di trek ini, perasaan saya jauh lebih baik berbanding di Thailand, jadi sayaa hanya perlu terus seperti ini."

Naib juara dunia MotoGP 2024 itu ketika ini mengisi carta ketiga kedudukan pelumba dan ketinggalan 15 mata di belakang Alex Marquez dan 31 mata di belakang Marc.