'SAYA Kecewa, Terima Kasih PETRONAS MIE Racing Honda'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/21/20241 min read

PELUMBA WorldSSP negara, Khairul Idham Pawi mengakui kecewa perlumbaan terakhirnya dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 di Jerez, Sepanyol diakhiri tanpa pungutan mata.

Pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing Honda itu kembali mengutip mata pada Perlumbaan 1 selepas menamatkan aksi di tangga ke-15 pada Sabtu namun pelarasan kurang sempurna memaksanya terkeluar daripada kelompok itu pada Perlumbaan 2.

Memulakan perlumbaan di petak ke-20, Khairul Idham hanya menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-19 sekali gus menamatkan kempen musim ini dengan sekadar mengutip 3 mata kejuaraan secara keseluruhan.

"Pada permulaan perlumbaan saya merasa bagus dan mempunyai kepantasan untuk kekal bersama kumpulan bersama dengan (Kaito) Toba," kata Khairul Idham atau lebih dikenali KIP yang menyertai PETRONAS MIE Racing Honda pada musim ini.

"Tetapi pada pertengahan perlumbaan, saya bergelut dengan bahagian depan jentera dan saya hampir kehilangan kawalan beberapa kali. Jadi daripada itu, saya mengambil keputusan untuk mengekalkan rentak, mengelak kesilapan dan menamatkan perlumbaan.

"Memang mengecewakan kami tidak dapat mengutip sebarang mata tetapi secara keseluruhan ia bukan minggu yang buruk. Saya mahu mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pasukan PETRONAS MIE Racing Honda atas sokongan dan kerja keras mereka musim ini," katanya.

Keputusan di Jerez menyaksikan KIP menamatkan saingan WorldSSP musim ini di kedudukan ke-37 keseluruhan dengan kejuaraan dunia menjadi milik pelumba Ducati dan Sepanyol, Adrian Huertas.

Daripada 12 pusingan yang berlangsung musim ini, pelumba kelahiran Perak itu hanya mengutip mata dalam tiga pusingan iaitu di Phillip Island, Australia, Magny-Cours, Perancis dan Jerez.