SAYA Layak Dapat Peluang Beraksi Di MotoGP Musim 2027 - Nicolo Bulega
Bulega menyuarakan keyakinannya untuk ke MotoGP itu selepas dia mempamerkan prestasi luar biasa dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan WorldSBK di Most, Rep. Czech yang turut melakar sejarah dengan meraih 19 kemenangan berturut-turut
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/25/20261 min read


PELUMBA Bintang Ducati di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK), Nicolo Bulega secara terbuka menegaskan dia berhak diberikan peluang beraksi di pentas MotoGP pada musim 2027 malah mengakui tidak akan berpuas hati jika diketepikan.
Kenyataan berani itu disuarakan Bulega selepas dia mempamerkan prestasi luar biasa dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan WorldSBK di Most, Rep. Czech yang turut melakar sejarah dengan meraih 19 kemenangan berturut-turut.
"Saya fikir sekarang saya layak mendapat peluang di MotoGP. Jika saya tidak mendapatnya, saya tidak tahu (apa akan berlaku). Pastinya, saya tidak akan gembira," kata Bulega ketika ditanya mengenai kemungkinan Ducati enggan menaikkan pangkatnya untuk berada di MotoGP.
Pelumba berusia 26 tahun yang juga sebahagian daripada pasukan ujian rasmi MotoGP Ducati itu, kini dilaporkan sedang hangat dikaitkan dengan penghijrahan ke pasukan milik legenda Valentino Rossi, VR46.
Bagaimanapun, hasrat Bulega tidak akan hadir dengan mudah kerana pelumba Honda, Luca Marini turut disebut-sebut sebagai calon pencabar utama untuk kerusi pasukan itu bagi menggantikan Franco Morbidelli yang bergelut dengan prestasi musim ini.
Berikutan satu lagi slot di VR46 dijangka bakal menjadi milik Fermin Aldeguer, persaingan untuk merebut baki kerusi kedua dalam pasukan tersebut kini secara realitinya hanya tertumpu antara Bulega dan Marini.
Rossi setakat ini menetapkan syarat mahu sekurang-kurangnya seorang pelumba Itali menunggang jentera pasukannya dengan Marini jelas memiliki kelebihan menerusi pertalian keluarga.
Tetaoi jika Bulega tidak mendapat tempat di MotoGP, dia masih berpeluang besar untuk terus mendominasi kejuaraan WorldSBK bersama kehebatan jentera Ducati Panigale V4 R.

