'SAYA Lebih Menikmati Jentera MotoGP 2014, 15, 16, Ketika Tanpa Aerodinamik'

Sepanjang 10 tahun lalu, pembangunan jentera MotoGP berkembang pesat khususnya membabitkan teknologi aerodinamik dan peranti pelarasan ketinggian, yang secara tidak langsung memberi kesan kepada aksi potong memotong serta menjadikan tayar hadapan terlalu sensitif

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/26/20261 min read

JUARA dunia 9 kali, Marc Marquez mengakui menunggang jentera MotoGP ketika ini tidak lagi menyeronokkan seperti sedekad lalu berikutan pengaruh besar teknologi aerodinamik yang menjadikan corak tunggangan seperti 'robot'.

Sepanjang 10 tahun lalu, pembangunan jentera MotoGP berkembang pesat khususnya membabitkan teknologi aerodinamik dan peranti pelarasan ketinggian, yang secara tidak langsung memberi kesan kepada aksi potong memotong serta menjadikan tayar hadapan terlalu sensitif.

Marquez seperti diketahui cukup lantang dengan evolusi jentera era baharu ini yang disifatkannya terlalu 'automatik' dan dalam temu buat bersama Bike World, perkara itu sekali lagi dibincangkan.

"Tempoh di mana saya lebih menikmati jentera (MotoGP) adalah pada 2014, 2015 dan 2016, tanpa aerodinamik," kata Marquez. "Kini, benar yang ia lebih bagus untuk ditunggang, tetapi ia lebih kepada gaya robot.

"Kamu perlu mengikuti apa yang aerodinamik mahukan dan kamu tidak boleh memaksanya (override) melebihi had, kerana tindakan itu hanya akan memperlahankan kelajuan kamu.

"Jadi pada tahun 2014, 2015 dan 2016 di mana ketika itu tiada pengaruh sistem aerodinamik, jika kamu memaksanya melebihi had, kamu akan lebih laju, kerana kamu mula menggelongsor dan hilang cengkaman di bahagian depan. Kamu akan melihat banyak aksi menyelamat.

"Kini tidak lagi, kerana masalah ketika ini adalah 'downforce' yang ada, apabila kamu hilang cengkaman depan, kamu menekan tayar dengan banyak dan ia tidak kembali seperti dahulu.

"Itu adalah jentera yang saya ada di Honda... tetapi ia bukan kerana saya lebih menikmati Honda atau Ducati, ia hanya gaya jentera.

Seperti diketahui, pengenalan peraturan baharu MotoGP bermula musim 2027 menyaksikan ciri aerodinamik akan dikurangkan manakala peranti pelarasan ketinggian diharamkan sepenuhnya.