SAYA Paling Kuat Di MotoGP Sekarang - Jorge Martin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/16/20241 min read


PELUMBA bintang Pramac Ducati, Jorge Martin mendakwa dia adalah pelumba paling 'kuat' dalam kelas elit MotoGP ketika ini.
Mengakui mengalami kekecewaan besar selepas tewas dalam pertarungan merebut gelaran dunia musim lalu kepada Pecco Bagnaia, Martin tampak sudah melupakan episod itu dan sedang memimpin kejuaraan berbaki empat pusingan.
Malah pelumba kelahiran Sepanyol itu memang tampak lebih kuat secara mental apabila menyatakan jika kejuaraan musim ini tidak dicapai, 'pemburuan' itu akan diteruskan musim depan.
"Saya lebih kuat. Saya sedikit lebih baik hampir di setiap kawasan," kata Martin memetik laporan Crash.net.
"Saya tidak merasakan yang saya lebih laju. Mungkin saya lebih laju pada tahun lalu, saya mempunyai lebih kelajuan berbanding orang lain.
"Ketika ini, kami hampir dengan Pecco, Enaa dan Marc. Kami hampir. Tetapi saya lebih kuat kerana ada sesuatu yang saya lebih baik."
Martin dalam pada itu mendedahkan antara penambahbaikkan yang dibuatnya pada tahun ini adalah membabitkan mental.
"Kami banyak meningkat dari sudut mental. Musim lepas cukup sukar, saya tidak dapat menguruskan tekanan. Saya banyak bergelut untuk menanganinya dan saya tidak tahu bagaimana untuk melakukannya.
"Musim lepas saya terlalu obses dengan keputusan, cuba menang, menang, menang... Mungkin ia tidak membantu saya.
"Kini saya cuba fokus lebih kepada diri saya, cuba untuk belajar daripada setiap situasi. Tidak segala-galanya membabitkan kemenangan. Jika saya boleh menang, sempurna, jika tidak, tidak apa-apa.
"Itu adalah pengajaran yang saya dapat musim lalu. Musim ini, saya tidur dengan sempurna. Kami melakukan kerja yang bagus!"
Mengulas kejuaraan musim ini, Martin berkata: "Ia impian yang amat besar, amat bermakna. Saya tahu saya boleh memenanginya. Situasinya adalah 50-50.
"Jika saya tidak memenanginya, saya akan mencubanya pada musim depan. Saya akan terus berjuang untuk kemungkinan menentuan jika saya mendapat angka 1," katanya.
