SAYA Perlu Perbaiki Lagi Skil Tunggangan - Qabil Irfan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/8/20241 min read

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan menjelaskan dia tidak merasa selesa menunggang jenteranya pada Perlumbaan 2 Moto4 ESBK 2024 di Jerez, Sepanyol semalam.

Selepas menamatkan Perlumbaan 1 pada Sabtu di kedudukan yang boleh dianggap baik, ke-6 pada Sabtu, pelumba kelahiran Terengganu itu sekadar menghuni tangga ke-12 pada Perlumbaan 2.

Dan ia boleh dilihat dengan jelas apabila Qabil yang beraksi bersama pasukan VHC Frando Racing tidak dapat menempatkan diri bersama kelompok depan dengan perlumbaan dimenangi pelumba Sepanyol, Enzo Zaragoza.

"Saya tak berapa gembira dengan keputusan pada hari ini (semalam)," kata Qabil dalam temuramah ringkas yang disediakan oleh ZK Racing.

"Saya rasa tak begitu bagus dengan jentera saya. Keadaan licin, keadaan sejuk dan tayar tergelincir.

"Saya perlu memperbaiki skil tunggangan saya untuk berlumba dalam keadaan sejuk. Terima kasih kepad sesiapa yang menyokong dan mendoakan saya," kata Qabil yang memperoleh berita gembira dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Malaysia.

Sebelum ini, Qabil dan bapanya, Azlan Abd Rahman terbang ke Eropah pada awal Mac lalu dan dijadualkan beraya di perantauan.

Begitupun selepas selesai Pusingan 1 Moto4 ESBK 2024 di Jerez, kedua-duanya akan menyertai penerbangan pulang ke Malaysia bersama Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin.