'SAYA Perlukan Kemenangan Ini'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/18/20251 min read

TOPRAK Razgatlioglu mengakui dia 'amat memerlukan' kemenangan pada Perlumbaan 1 di Most, Republik Czech, semalam.

Penyandang juara dunia WorldSBK itu tidak bergelar pemenang sejak Perlumbaan Superpole di Assen, Belanda dan terpaksa menuju aksi di Most ketinggalan 34 mata di belakang pelumba Ducati, Nicolo Bulega.

Justeru, kemenangan di Most amat diperlukan terutama dari sudut psikologi buat pelumba kelahiran Turki itu.

"Saya fikir Perlumbaan 1 terbaik (musim ini)," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com. "Saya amat gembira kerana saya amat memerlukan kemenangan, selepas banyak perlumbaan saya perlu menang semula.

"Saya amat gembira dengan kejayaan ini, dan terima kasih kepada pasukan saya kerana setiap sesi kami menambah baik jentera. Tetapi kami memerlukan lebih lagi kerana esok (hari ini) akan ada dua perlumbaan."

Sekalipun melepasi garisan penamat 6 saat di depan pencabar terdekatnya, Razgatlioglu begitupun bergelut di awal perlumbaan.

"Permulaan perlumbaan tidak mudah bagi saya kerana saya cuba untuk mengadaptasi dengan keadaan cuaca kerana keadaan angin amat kuat dan ia kerap berubah," katanya.

"Pada satu pusingan saya merasa angin terlalu kuat, satu pusingan kemudian anginnya berkurangan tetapi jentera kadang kala tidak mahu berhenti. Tetapi selepas itu, saya berjaya menguruskan situasi, saya mengekalkan kelajuan saya kerana saya fokus untuk memenangi perlumbaan.

"Kelajuan juga amat baik, kami melakukan banyak 1:31 saat (s) dan hanya pada pusingan terakhir saya melepaskan sedikit terotel kerana kami perlu menyimpan tayar belakang.

"Bagi saya, ia perlumbaan yang baik. Awalnya, ia ok, saya memberi tekanan sekuat mungkin tetapi selepas itu saya menunggang dengan sedikit tenang."