SAYA Sendiri Tak Jangka Hakim Danish Menang Seawal Ini - Zulfahmi Khairuddin

Hakim Danish melakar sejarah dalam sukan permotoran negara apabila menjuarai perlumbaan Moto3 GP Republik Czech di Litar Brno, sekali gus menamatkan penantian hampir sedekad untuk melihat lagu Negaraku kembali berkumandang di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/23/20261 min read

KEJAYAAN sensasi pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli merangkul kemenangan sulung di pentas Moto3 turut mencetuskan kejutan buat Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin.

Sebagai antara individu yang bertanggungjawab membimbing Hakim Danish, Zulfahmi mengakui dia pada awalnya sama sekali tidak menyangka kemenangan yang diraih pelumba AEON Credit MT Helmets MSi itu mampu diraih seawal musim pertamanya.

Pelumba kelahiran Terengganu, Hakim Danish melakar dalam sukan permotoran negara apabila menjuarai perlumbaan Moto3 GP Republik Czech di Litar Brno, sekali gus menamatkan penantian hampir sedekad untuk melihat lagu Negaraku kembali berkumandang di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

"Alhamdulillah, ini satu kemenangan yang sangat membanggakan. Sejujurnya, saya tidak menjangkakan Hakim Danish mampu meraih kemenangan perlumbaan Grand Prix seawal ini kerana ini adalah musim pertamanya.

"Namun, saya sentiasa percaya dengan kemampuannya. Hari ini (semalam) dia membuktikan pelumba Malaysia mampu bersaing dan menang dalam perlumbaan yang sangat sengit di peringkat dunia," kata Zulfahmi.

Kejayaan di Brno itu secara langsung mengulangi pencapaian bersejarah yang pernah dilakar oleh bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi ketika muncul juara di GP Jerman pada tahun 2016.

Mengulas prestasi anak didiknya, Zulfahmi menyifatkan Hakim Danish berjaya mempamerkan satu potensi dan kelajuan yang cukup luar biasa sepanjang hujung minggu perlumbaan.

"Dia sangat laju di Litar Brno walaupun realitinya ini adalah kali pertama Hakim Danish turun bersaing di litar berkenaan. Saya amat bangga dan ingin mengucapkan tahniah kepadanya atas pencapaian cukup istimewa ini," katanya.

Zulfahmi dalam pada itu menjelaskan kelangsungan program pembangunan sukan permotoran yang stabil adalah kunci utama untuk Malaysia terus melahirkan lebih ramai juara.

"Kemenangan ini meletakkan Malaysia pada satu tahap yang berbeza. Saya sentiasa yakin negara kita mempunyai ramai bakat dan hari ini, program yang diusahakan selama ini terbukti mampu melahirkan pemenang GP Moto3," katanya.

Bekas pelumba Moto3 negara itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat semua pihak termasuk Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pasukannya (ZK Racing) serta penyokong yang bertungkus-lumus membantu menggilap bakat muda seperti Hakim Danish.