SAYA Tak Akan Ada Di Grid MotoGP 2025 - Augusto Fernandez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/21/20241 min read

AUGUSTO Fernandez akhirnya mengeluarkan kenyataan dia seperti sudah mengibar bendera putih dan tiada tempat untuknya di grid MotoGP pada musim 2025.

Beraksi buat musim keduanya bersama pasukan Red Bull GasGas Tech3, prestasi yang ditampilkan juara dunia Moto2 2022 itu jelas tidak seperti diharapkan dan ketika ini menghuni tangga ke-17 keseluruhan dengan mengumpul 16 mata.

Sebagai perbezaan, rakan sepasukannya yang juga 'rookie' tunggal MotoGP musim ini, Pedro Acosta mengisi kedudukan ke-7 dan sudah mengumpul 125 mata.

Dengan keempat-empat 'pelana' di KTM bagi musim 2025 sudah pun mempunyai pemiliknya, peluang untuk pelumba kelahiran Sepanyol itu kekal di MotoGP hanya bukan sebagai pelumba sepenuh masa dan menariknya, bersama Yamaha.

"Saya sudah pasti tidak akan berada di grid (MotoGP), tetapi, saya akan tetap menunggang jentera MotoGP," kata Fernandez. "Kami sedang berusaha mengenai perkara itu. Ia masih belum selesai, tetapi kami berharap ia dapat dimuktamadkan tak lama lagi," katanya.

Berdasarkan kata-kata Fernandez itu, dia berkemungkinan akan cuba untuk menggantikan tugas pelumba ujian Yamaha yang ketika ini dipikul pelumba British, Cal Crutchlow.

Dan menariknya, potensi Fernandez menggantikan tugas Crutchlow turut mendapat sokongan pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo.

Berbaki sembilan pusingan musim ini, pelumba berusia 27 tahun itu berkata sasarannya adalah untuk merapatkan jurang dengan rakan-rakannya yang turut menunggang jentera KTM RC16.

"Selepas musim teruk yang saya hadapi, sasaran saya sehingga penghujung musim adalah untuk merapatkan kedudukan dengan rakan-rakan sepasukan saya," kata Fernandez.

"Untuk cuba berada bersama mereka dalam setiap litar. Jack dan Brad amat laju (di AUstria) dan saya perlu mengetahui apakah sebabnya tetapi sekurang-kurangnya saya sepantas Pedro."