SAYA Tak Mahu Hampakan Peminat Sukan Permotoran Negara - Zulfahmi Khairuddin
Perkembangan menarik kepada peminat yang mengharapkan kelibat pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2025 secara wildcard
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/31/20251 min read


SEKALIPUN statusnya masih belum rasmi, kelibat pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2025 secara wildcard semakin hampir menjadi kenyataan.
Seperti diketahui, pelumba yang mencecah usia 18 tahun itu, semalam pada tahun ini beraksi dalam dua kejuaraan bakat muda berprestij - Reb Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) dan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) dan prestasi yang ditampilkan cukup baik.
Pulang ke tanah air bagi cuti musim panas di Eropah, ada perkembangan menarik bagi pelumba kelahiran Terengganu itu daripada Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin membabitkan penyertaannya di GP Malaysia pada Oktober ini.
Zulfahmi ketika ditemui pada sesi media RCB Athletes bersama media, hari ini berkata, perbincangan mengenai perkara itu dengan Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) berjalan lancar dan pihaknya menerima maklum balas positif.
Begitupun, bekas pelumba Moto3 negara itu mengakui masih belum boleh memberi kata putus kerana perlu menantikan kata akhir daripada pihak yang berkaitan.
“Saya sudah uruskan semua perkara daripada pihak kami dan minggu lalu pun ada berbincang dengan pihak SIC. Mereka sebenarnya menuju ke arah itu untuk menjadikan program wildcard ini satu kenyataan.
“Tetapi, belum ada keputusan yang betul-betul muktamad, jadi saya belum boleh beri pengesahan rasmi.
“SIC sudah menyatakan komitmen mereka untuk keluarkan kos tertentu, tetapi seperti biasa, ia perlu dibincangkan dengan pihak pengurusan tertinggi sebelum dimuktamadkan.
“Tetapi saya tidak mahu menghampakan peminat sukan permotoran negara dan amat berharap dapat melihat pelumba Malaysia bersaing di MotoGP Malaysia tahun ini,” katanya.
Selain SIC, Zulfahmi berkata penyertaan Hakim ke perlumbaan bertaraf dunia itu turut membabitkan rundingan dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri dan sektor korporat.
“Sudah semestinya yang utama datang daripada SIC sendiri. Selain itu, kita juga sedang berurusan dengan kerajaan negeri Terengganu, penaja seperti RCB dan beberapa syarikat korporat lain yang bersedia membantu, khusus untuk program wildcard ini,” katanya.
Sebagai info, pengesahan terakhir untuk seseorang pelumba menyertai program wildcard adalah 45 hari sebelum perlumbaan bermula.
