SAYA Tak Perlu Minta Maaf Kepada Aprilia - Jorge Martin
Penyandang juara dunia MotoGP, Jorge Martin enggan memohon maaf kepada Aprilia Racing di sebalik kontroversi yang dilakukannya bersama pasukan itu selepas mengesahkan dia akan kekal bersama pasukan itu bagi musim 2026
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/17/20251 min read


JORGE Martin yang menamatkan kontroversi bersama Aprilia Racing dengan mengesahkan akan kekal bersama pasukan itu bagi musim 2026 menegaskan dia tidak perlu meminta maaf kepada pengeluar Itali itu atas apa yang berlaku.
Penyandang juara dunia MotoGP itu dijadual kembali ke litar pada minggu ini di Brno, Republik Czech selepas menghabiskan beberapa bulan bagi proses pemulihan kecederaan yang dihadapinya.
Dan ketika sedang menjalani pemulihan, pelumba kelahiran Sepanyol itu mencipta kejutan apabila mengumumkan hasratnya untuk meninggalkan pasukan itu menerusi klausa yang terdapat pada kontraknya pada musim depan.
"Saya fikir sesiapapun boleh memahami apabila kamu berada di hospital dengan 12 tulang rusuk yang patah dan kamu tidak boleh tidur selama seminggu, tiada siapa yang boleh memahami apa yang sedang bermain di fikiran saya," kata Martin.
"Jadi, segala yang saya lakukan saya fikir ia adalah baik untuk masa depan saya. Dan ia adalah perkara yang sama saya lakukan sekarang, untuk memutuskan kekal di sini."
Aprilia seperti diketahui memang tidak berniat untuk melepaskan pelumba bintangnya itu malah kekal membantu Martin dalam usahanya untuk kembali cergas.
"Sudah tentu apabila kamu tiba di paddock selepas segala yang berlaku, berada di luar daripada paddock kamu boleh merasa sedikit ketegangan. Tetapi pada akhirnya perkara paling penting antara pelumba dan pasukan adalah untuk berkomunikasi, untuk bercakap.
"Jika ada perkara yang salah, mereka mempunyai kebebasan untuk bercakap kepada saya.
"Jika saya merasa sesuatu yang salah, saya juga mempunyai kebebasan untuk bercakap dengan mereka. Dan tidak, saya tidak meminta maaf kepada mereka (Aprilia) kerana saya tidak rasa saya perlu meminta maaf kepada mereka kerana saya melakukan apa yang saya fikir terbaik untuk karier saya.
"Dan kini kami bersama, jadi kami akan memulakannya bersama-sama, kami akan bercakap bersama-sama. Dan jika mereka merasakan saya perlu melakukan sesuatu untuk menambah baik hubungan, saya akan melakukannya.
"Dan bagi saya, amat penting amat penting untuk mempunyai keluarga dalam paddock. Jadi saya akan bekerja keras untuk memastikan keluarga ini bagi menghadapi apa saja yang mendatang."
