SAYA Tak Suka Angka Satu - Toprak Razgatlioglu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/25/20241 min read


TOPRAK Razgatlioglu mendedahkan dia begitu berminat dengan angka satu - angka yang diperoleh khusus sebagai juara dunia dalam pelbagai siri perlumbaan termasuk di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).
Pernah memakai angka sama ketika menjuarai gelaran sama pada musim 2021 bersama Yamaha, pelumba kelahiran Turki itu kehilangan semula nombor berkenaan pada musim 2023 selepas tewas kepada pelumba Ducati, Alvaro Bautista.
Begitupun, Razgatlioglu akan sekali lagi memakai nombor sama bagi musim 2025 selepas menjulang gelaran dunia bersama BMW Motorrad pada musim ini, meskipun dia lebih menggemari nombor asalnya 54.
"Saya tidak begitu menyukai nombor 1, saya menggemari nombor 54. Tetapi BMW layak untuk menggunakan nombor berkenaan. Untuk BMW, saya akan menggunakan nombor 1," kata Toprak.
Terpaksa bergelut untuk menjulang gelaran dunia pertama bersama Yamaha, Razgatlioglu tampil cukup dominan bersama BMW musim ini dengan meraih 18 kemenangan termasuk 13 secara berturut-turut.
Lebih menakjubkan, ia adalah musim pertama dia bersama BMW.
"Kami layak mendapatkannya, kami kini adalah juara dunia, terutama untuk BMW, untuk saya, ia adalah musim yang menakjubkan," kata Razgatlioglu.
"Gelaran dunia pertama adalah untuk ayah saya, dan yang kedua ini adalah untuk saya. Yang pertama sentiasa sukar, sentiasa amat istimewa tetapi saya amat gembira."
Selepas mengesahkan gelarannya di Jerez, Razgatlioglu menerima ucapan tahniah daripada seluruh komuniti WorldSBK.
"Apabila saya berhenti di selekoh pertama, semua pelumba, hampir semua berhenti untuk saya. Termasuk Alvaro yang mengalami kemalangan.
"Saya amat gembira kerana ia adalah detik bagaikan 'keluarga', dan saya amat gembira berlumba dengan mereka semua di paddock Superbike."
