'SAYA Tak Tahu Nak Buat Apa'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/2/20251 min read


MARC Bezzecchi mendedahkan dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika berlakunya 'kekecohan' di grid perlumbaan MotoGP Grand Prix Amerika Syarikat di Austin.
Grid di COTA 'kecoh' apabila ramai pelumba berlari meninggalkan jentera masing-masing, 'pergerakan' yang dimulakan oleh pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez beberapa minit sebelum perlumbaan dimulakan.
Tindakan Marquez adalah disebabkan keadaan litar dilihat terlalu kering untuk berlumba menggunakan tayar jenis basah, pilihan yang dibuat majoriti pelumba termasuk Bezzecchi.
Tetapi tidak seperti kebanyakan pelumba lain, Bezzecchi yang memulakan perlumbaan di petak ke-13 kekal di atas jenteranya berikutan tidak pasti sama ada tindakan itu akan mengakibatkan penalti atau tidak.
"Saya tidak tahu apa perlu dilakukan. Ia amat aneh! Saya sejujur-jujurnya tidak tahu apa perlu dibuat kerana saya berada di grid, dan saya melihat ramai pelumba berlari dan jentera mereka juga. Dan saya seperti... kehilangan kata-kata!
"Saya tidak tahu apa yang perlu dibuat kerana saya bimbang yang jika saya menukar jentera atau lari, mungkin saya boleh dikenakan penalti. Jadi saya menunggu.
"Saya menunggu sehingga saya melihat individu dari 'Race Direction' berkata yang kami boleh meninggalkan grid.
"Kemudian saya agak tenang dan santai. Saya mematikan jentera saya dan kembali ke 'box' pasukan," kata pelumba kelahiran Itali itu yang kemudian menamatkan perlumbaan di tempat ke-8.
Situasi yang berlaku, membabitkan jentera, pelumba dan krew perlumbaan termasuk tetamu di grid akhirnya memaksa 'Race Direction' untuk menangguhkan permulaan perlumbaan atas sebab keselamatan.
Kemudian ia difahamkan yang ramai pelumba, termasuk Marquez berdepan salah faham mengenai penalti ride-through yang mereka akan terima jika meninggalkan grid yang hanya dikenakan jika permulaan tidak ditangguhkan.
