SAYA Terlalu Agresif Sampai Buat Silap - Hakim Danish

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/1/20241 min read

HAKIM Danish Ramli menjelaskan tunggangan terlalu agresif menjadi sebab dia dikenakan dua penalti 'Long lap' pada Perlumbaan 1 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Aragon, semalam.

Tampil dengan prestasi jauh lebih baik berbanding pusingan sebelum ini, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya menempatkan dirinya di kelompok depan malah di posisi podium pada awal perlumbaan.

Dan berbaki 5 pusingan, perlumbaan terpaksa dihentikan susulan kemalangan yang menyaksikan aksi perlu dimulakan semula sebanyak 9 pusingan.

Begitupun, pelumba berusia 17 tahun itu tampak sedikit bergelut pada perlumbaan yang dimulakan semula itu yang menyebabkannya melakukan kesilapan yang turut menyebabkan Maximo Quiles mengalami kemalangan.

"Selepas perlumbaan dimulakan semula selepas bendera merah dikibarkan, saya agak kelam kabut kerana ada beberapa pelumba memintas saya dan ketika cuba mendapatkan kedudukan saya, saya terlampau agresif ketika mahu memintas.

"Kerana itu saya dikenakan penalti dua 'long lap' tetapi berjaya untuk habiskan perlumbaan," kata Hakim Danish.

Mengulas aksinya sebelum insiden itu, Hakim Danish mengakui perasaannya kini termasuk bersama jentera berada dalam keadaan baik dan mahu momentum itu diteruskan.

"Saya harap dapat beri yang terbaik dan tidak melakukan kesilapan seperti hari ini (Perlumbaan 2)," katanya.

Hanya dua mata diperoleh daripada Perlumbaan 1, Hakim Danish kekal di kedudukan ke-7 keseluruhan carta pelumba namun kedudukannya makin dihampiri oleh pelumba Indonesia, Eka Veda Pratama.