SAYA Tiada 'Senjata' Di Suzuki, Yamaha Seperti Saya Ada Sekarang - Mav Vinales

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/17/20241 min read

MAVERICK Vinales terus menghamburkan pujian terhadap Aprilia malah membandingkan kemampuan jentera pengeluar Itali itu dengan dua pasukan yang pernah disertainya sebelum ini, Suzuki dan Yamaha.

Vinales memperoleh minggu yang dianggap cukup cemerlang di GP Amerika Syarikat 2024, minggu lalu apabila memenangi kedua-dua perlumbaan - Sprint dan MotoGP - yang menyaksikannya merekod sejarah sebagai pelumba yang menang bersama tiga pengeluar berbeza dalam era 4 lejang.

Tetapi apa yang lebih menarik adalah pelumba kelahiran Sepanyol itu turut membuktikan kemampuan dimiliki jentera Aprilia RS-GP selepas bangkit daripada 'tergelincir' ke posisi ke-11 untuk meraih kemenangan.

Antara yang menjadi 'mangsa' kepada Vinales termasuklah penyandang juara dunia dari Ducati, Francesco Bagnaia, Jorge Martin (Pramac Ducati) dan Pedro Acosta (GasGas Tech3).

"Sebelum ini saya tidak memiliki senjata seperti saya ada sekarang untuk memotong," kata Vinales. "Semua orang tahu dengan amat baik yang sebelum ini saya bergelut untuk merapatkan diri dengan pelumba lain.

"Tetapi dengan jentera yang saya ada sekaranga saya boleh melakukan brek dengan kuat, sudah tentu tidak mudah untuk memintas tetapi saya boleh mencubanya dan ia menakjubkan.

"Saya mempunyai senjata untuk dicuba dan ia sesuatu yang besar. Jelas kamu tidak boleh sentiasa memulakan dan memimpin perlumbaan sejak selekoh pertama jadi kamu perlu berusaha keras dan semua pelumba lain turut melakukan brek dengan lambat dan bersaing, tetapi saya juga berjuang.

"Ia menakjubkan dan di Aprilia kami juga bekerja keras untuk memahami di mana kami boleh memotong dan bagaimana untuk melakukannya," kata Vinales yang menyertai Aprilia pada pertengahan musim 2021 selepas berlaku 'pergeseran' dengan Yamaha.

Mengulas lanjut kejayaan yang diperoleh di Austin, Texas, Vinales berkata ia sesuatu yang menakjubkan.

"Tahap kegembiraan ketika ini menakjubkan. Ia cara yang cukup susah untuk meraih kemenangan. Tahun lalu kami banyak mengubah keseimbangan jentera dan saya memperoleh kembali kelajuan yang saya ada dan patut ada.

"Jelas bukan dengan cara yang saya lakukan hari ini (Perlumbaan) kerana kamu tidak akan terus mendapat perlumbaan seperti ini dengan kerap dalam kehidupan kamu.

"Kami perlu ingat yang esok kami perlu kembali berlatih. Kami tidak boleh bersenang lenang kerana pelumba lain juga bekerja amat keras," katanya.