SAYA Tidak Dapat Bernafas - Toprak Razgatlioglu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/30/20241 min read

PELUMBA bintang Turki, Toprak Razgatlioglu mendedahkan dia tidak dapat bernafas sejurus berdepan kemalangan ngeri di Magny-Cours, Perancis, insiden yang membuatkannya terfikir peluangnya untuk menjulang gelaran dunia WorldSBK musim ini sudah berakhir.

Razgatlioglu yang menjuarai gelaran dunia WorldSBK musim ini bersama pasukan BMW Motorrad mencipta kebimbangan di Perancis ketika sesi latihan apabila terjatuh di selekoh dan melanggar bucu tembok penghadang litar dengan impak yang kuat.

Akibat kemalangan itu, bekas pelumba Yamaha itu tersisih enam perlumbaan sebelum dibenarkan kembali berlumba di Pusingan 10 di Aragon, Sepanyol.

"Kemalangan di Magny-Cours cukup kuat," kata Razgatlioglu. "Apabila saya tiba di sektor terakhir, saya kehilangan cengkaman di bahagian depan, melanggar dinding, dan apabila saya cuba berhenti, saya mendapati saya tidak dapat bernafas.

"Saya menoleh dengan pantas dan cuba untuk bernafas semula. Nafas saya amat pendek, dan selepas itu saya mula untuk kembali bernafas.

"Apabila saya pergi ke hospital, keadaan saya tidak bagus kerana paru-paru saya (bocor).

"Selepas kemalangan, setiap hari saya cuba berfikir mengenai sasaran saya, saya hanya cuba untuk kembali secepat yang mungkin dan bersaing merebut kejuaraan.

"Saya cuba untuk kembali di Cremona, kami melakukan ujian sekali lagi dan saya masih ada udara dalam paru-paru saya. Hanya sedikit tetapi para doktor dan Minoca (Lazzarotti - Ketua Pegawai Perubatan WSBK) berkata perlumbaan di sini (Cremona) amat merbahaya."

Bekas juara dunia WorldSBK 2021 itu turut mengakui hampir menangis apabila dibenarkan pasukan perubatan untuk kembali berlumba di Pusingan 10 WSBK 2024 di Aragon, Sepanyol.

"Jika saya tidak dapat kembali ketika perlumbaan di Aragon, saya fikir saya akan kehilangan kejuaraan. Apabila saya pergi berjumpa doktor di Aragon, mereka berkata 'ok', dan saya hampir menangis di sana.

"Selepas Aragon, saya pulang ke Turki dan akhirnya saya dapat menikmati kembali masakan istimewa ibu saya, dan melakukan latihan dengan Kenan (Sofuoglu) di litar, dan mental saya kembali lebih kuat.

"Apabila saya pergi ke Estoril, saya merasakan seperti Toprak, Toprak yang sebenar."