'SCRAMBLER' Unik LETBE Flygon, Sesuai Untuk Pasaran Malaysia?

Tampil dengan gaya scrambler yang menggunakan tayar bersaiz besar, LETBE Flygon mencuri tumpuan ramai menerusi reka bentuknya yang mengambil inspirasi daripada serangga 'Dragon fly' dan ia dapat dilihat menerusi rekaan lampu depan jenis projektor

TERKINI

9/7/20261 min read

SEMPENA lawatan ke ibu pejabat LETBE di China, pengeluar dan pengedar motosikal tempatan, MForce Bike mendedahkan antara model yang dalam pertimbangan mereka untuk dibawa ke Malaysia adalah model motosikal bergaya scrambler unik iaitu LETBE Flygon.

Tampil dengan gaya scrambler yang menggunakan tayar bersaiz besar, LETBE Flygon mencuri tumpuan ramai menerusi reka bentuknya yang mengambil inspirasi daripada serangga 'Dragon fly' dan ia dapat dilihat menerusi rekaan lampu depan jenis projektor.

Sebagai info, LETBE Flygon sudah pun dipamerkan semasa acara MForce MotoXperience 2026 pada penghujung Mei lalu dan ia menjadi antara model yang menjadi tumpuan berikutan rekaan uniknya.

Di pasaran China, LETBE Flygon mempunyai beberapa varian pilihan kapasiti enjin, antaranya 125 cc, 150 cc, 220 cc serta 250 cc dan menariknya, kesemuanya menggunakan kerangka 'badan' yang sama.

Begitupun bagi versi kapasiti enjin rendah, ia dipadankan dengan sistem penyejukan udara, manakala varian berkapasiti 220 cc dan 250 cc dilengkapi sistem penyejukan minyak.

Dari sudut teknologi, LETBE Flygon didatangkan dengan kelengkapan moden termasuk panel meter digital TFT berwarna berbentuk bulat bersaiz 2.8 inci.

Sistem suspensi dipadankan dengan fork hadapan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal (monoshock) di belakang boleh laras. Sistem pula menggunakan cakera (depan & belakang) lengkap dengan ABS dan TCS. Pilihan brek kombi (CBS) turut ada.

Apa yang menarik, LETBE Flygon dipasangkan tayar 'gergasi' jenis dwi-kegunaan atau jalanan bersaiz 130/80 dengan rim 18 inci di hadapan, manakala bahagian belakang menggunakan rim 14 inci yang dibalut tayar bersaiz 180/80.

Dengan berat sekitar 140 kg, ketinggian pelana 780 mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 230 mm, Flygon dilihat mesra untuk pelbagai saiz penunggang di Malaysia serta mampu meredah pelbagai permukaan jalan dengan mudah.

Info lain:

  • Tinggi pelana 780 mm

  • Jarak lega bumi 230 mm

  • Tangki petrol 12 Liter

  • Berat 140 kg