'SEBAB Amaran Tekanan Tayar'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/2/20251 min read

MARC Marquez mengesahkan situasi yang membuatkannya 'melepaskan' kedudukan selaku pendahulu ketika perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Thailand 2025 selepas pusingan ke-7 adalah disebabkan amaran tekanan tayar.

Pelumba Ducati Lenovo itu memperoleh permulaan sempurna bagi kempen pembuka tirai MotoGP musim ini selepas meraih petak utama, menang Perlumbaan Sprint dan Grand Prix.

Ia adalah kemenangan pembuka musim pertama buat juara dunia lapan kali itu sejak musim 2014 sekaligus menamatkan pusingan sebagai pendahulu kejuaraan, kedudukan yang kali terakhir diraih pada 2019 ketika masih bersama Honda.

Begitupun pada aksi di Buriram, Marquez yang memimpin perlumbaan sejak awal memperlahankan jenteranya pada selekoh 3 pusingan ke-7 yang membenarkan adiknya, Alex Marquez mengambil alih kedudukan itu.

Tetapi menurut pelumba kelahiran Sepanyol itu, ia adalah disebabkan amaran yang terhadap tekanan angin tayar depannya yang membuatkannya hanya mempunyai tiga pusingan untuk memperbetulkan situasi sebelum dikenakan penalti.

"Ya," kata pelumba kelahiran Sepanyol itu ketika ditanya oleh TNT Sport adalah ia disebabkan isu tekanan tayar. "Ia perlumbaan yang sangat mencabar, kerana perasaan cukup bagus pada awalnya.

"Saya berkata, 'Ok, saya meluncur' dan saya sudah pun membuka jurang.

"Tetapi kemudian saya menyedari yang tekanan tayar tidak mencukupi, dan kemudian saya cuba mencari 'slipstream'. Dan saya hanya mempunyai margin sebanyak tiga pusingan, dan atas alasan itu saya hanya memintas Alex ketika berbaki tiga pusingan pada penghujung perlumbaan kerana selagi saya tidak melengkapkan pusingan itu saya tidak memintasnya.

"Tetapi ia agak kritikal, kerana jika dikenakan penalti ia adalah satu bencana. Tetapi kami bekerjasama dengan pasukan, dan kami melakukannya."

Berdasarkan peraturan, pelumba-pelumba perlu menunggang dengan 1.8 bar tekanan tayar minimun untuk sekurang-kurangnya 60 peratus perlumbaan. Gagal melakukannya akan memberikan penalti 16 saat.