SEBAB Nak Sertai Honda?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/13/20251 min read


JORGE Martin yang ketika ini didakwa sedang mencari jalan untuk meninggalkan Aprilia menerusi klausa terma kontraknya dilaporkan sudah memiliki destinasi pilihan.
Menurut laporan Sky Sports Italy, cubaan Martin untuk meninggalkan pengeluar Itali itu adalah untuk membenarkannya menyertai pengeluar Jepun, Honda pada tahun depan.
Ketika ini, Honda menjadi satu-satunya pengeluar yang memiliki kekosongan bagi musim 2026 dengan kontrak pelumbanya, Luca Marini akan berakhir pada penghujung musim ini.
Martin yang sebelum ini menandatangani kontrak dua tahun dengan Aprilia pada musim lalu dikatakan bersedia untuk mengaktifkan klausa yang membenarkannya meninggalkan Aprilia jika pasukan itu tidak mencapai prestasi yang diharapkan.
Justeru, disebabkan tidak yakin dengan kemampuan jentera Aprilia RS-GP, penyandang juara dunia MotoGP itu dikatakan mengancam untuk meninggalkan pengeluar itu pada penghujung musim ini menerusi terma kontraknya, memetik laporan Motorsports.com.
Menurut laporan itu, perjanjian Jorge Martin dengan Aprilia menyatakan klausa kontraknya itu boleh diaktifkan jika dia tidak berada dalam kalangan pencabar kejuaraan menjelang Grand Prix (GP) Perancis.
Dan sekali pun ia tidak berlaku, Martin begitupun dikatakan sudah memaklumkan kepada Aprilia mengenai hasratnya sekali pun terdapat kemungkinan tarikh akhir prestasi itu dilanjutkan sehingga GP San Marino pada September.
Aprilia juga dilaporan bersedia untuk mencabar perkara ini menerusi perundangan kerana Martin hanya menyertai satu perlumbaan GP musim ini susulan kecederaan yang dialaminya.
Kemalangan di GP Qatar menyebabkan pelumba Sepanyol itu mengalami 11 keretakan pada tulang rusuk dan berdepan kemungkinan tempoh pemulihan sehingga Grand Prix Jerman pada Julai.
Aprilia ketika ini masih belum memberikan sebarang maklum balas tetapi pengeluar itu masih boleh mengelak situasi itu daripada berlaku jika berjaya menampilkan peningkatan prestasi dalam pusingan selepas ini.
Aprilia juga menghuni tangga tercorot kedudukan pengeluar MotoGP musim ini dan menjadi satu-satunya pengeluar yang masih belum meraih kedudukan podium pada 2025 (KTM raih podium menerusi Maverick Vinales tapi dibatalkan).
Pelumba terbaiknya ketika ini Ai Ogura dari pasukan satelit Trackhouse yang juga 'Rookie' di kedudukan ke-10.
